KOTA KINABALU: Peniaga bazar Ramadan di Sabah diingatkan supaya tidak menaikkan harga juadah makanan dengan sewenang-wenangnya sempena Ramadan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, peniaga juga diingatkan untuk sentiasa menjaga kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai agar sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat untuk dimakan.
“Dengan adanya bazar Ramadan ini, pengguna juga diingatkan agar berbelanjalah dengan bijak dan menjaga keselamatan semasa berkunjung ke bazar nanti dan kepada peniaga, harga juadah perlulah berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis pelancaran Jelajah Ramadan RTM di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Digital yang turut dihadiri Pengarah Program Radio Nor’ain Bakir di sini semalam.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah buat julung kalinya menjadi lokasi pelancaran program jelajah Ramadan pada tahun ini membabitkan 77 perhentian di masjid terpilih seluruh negara dan lokasi terakhir ialah di Perlis pada 15 April depan.
Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, peranan media yang menyebar maklumat kepada rakyat membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada masyarakat secara berkesan melalui pelbagai dasar serta inisiatif kerajaan negeri.
“Jelajah Ramadan RTM ini juga amat signifikan dan wajar diteruskan bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya dan Malaysia Madani,” katanya.