Pengusaha tagal nafi air sungai Balung Cocos tercemar

tagal.jpg

Penduduk sebuah kampung di Sabah bergotong-royong menangkap ikan di salah satu lubuk ikan tagal. — Gambar fail/ Bernama

Kongsi Bersama

TAWAU: Pengusaha Tagal menafikan air sungai di Balung Cocos tercemar seperti yang dilaporkan sebuah portal berita di negeri ini pada 23 Disember lepas.

Wakil Pengusaha Tagal Balung Cocos, Zulkarnain Rasley berkata, laporan berita itu tidak benar sama sekali kerana tiada bukti yang menyatakan sungai ini tercemar.

Katanya, berita itu hanya memberi kesan negatif terhadap eko pelancongan di Balung Cocos sehingga menyebabkan orang ramai tidak mahu datang ke sini.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga sudah mengesahkan sungai Balung Cocos tidak tercemar.

“Baru-baru ini juga Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut mengambil sampel air sungai Balung Cocos untuk pengesahan kualiti air dan tiada tanda-tanda berlaku pencemaran,” katanya.

Zulkarnain menggesa pihak yang mendakwa sungai ini tercemar supaya mengemukakan bukti yang betul dan jangan sesekali membuat kenyataan tanpa sebarang bukti.

“Portal berita berkenaan juga diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang bukti pihak berkuasa kerana ia boleh menjejaskan aktiviti pelancongan di sini.

“Kita tidak mahu usaha penduduk kampung yang juga pengusaha tagal ini terjejas akibat penyebaran berita yang tidak betul,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan yang tidak tepat dan pastikan membuat rujukan kepada pihak berkuasa.

“Saya juga mengharapkan penduduk di daerah ini datang ke Tagal Balung Cocos untuk beriadah bersama keluarga.

“Pengusaha tagal juga memberi jaminan bahawa sungai Balung Cocos bersih tanpa sebarang pencemaran,” katanya.

Terdahulu, turut turun padang melawat sungai Balung Cocos ialah Ketua Kampung Balung Cocos, Takun Austin; Wakil Ketua Anak Negeri Kampung Balung Cocos, Yacob Danmin dan Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Balung Azhar Moktar. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top