Pengusaha Perniagaan Makanan Perlu Dibantu Untuk Laksana Menu Rahmah

pak-mus-menu.jpg

Restoran Pak Mus merupakan restoran pertama menawarkan Menu Rahmah di Sabah.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengusaha perniagaan makanan mendapati sukar untuk melaksanakan inisiatif Menu Rahmah berikutan kos sewa yang tinggi dan kos overhed lain, kata Persatuan Pengguna Pantai Barat Sabah.

“Kerajaan perlu membantu pengusaha makanan jika mahu mereka berjaya melaksanakan Menu Rahmah,” kata presidennya David Chan.

Di bawah program Menu Rahmah, orang ramai boleh menikmati makan tengah hari dan makan malam pada harga RM5 setiap hidangan di hampir 15,000 kedai makanan di seluruh negara.

Chan berkata berdasarkan tinjauan persatuan itu, menu itu lebih mudah dilaksanakan oleh pengusaha gerai makanan berbanding pengusaha kedai kopi atau restoran.

“Bagi pengusaha gerai makan biasa, mereka tidak dibebani dengan kos sewa kedai yang mahal serta kos pengambilan pekerja yang gajinya antara RM1,200 hingga RM1,500 seorang,” katanya.

Beliau berkata terdapat minat dalam kalangan pengusaha makanan di Sabah untuk menyokong inisiatif itu.

“Semua mahu melihat ia berjaya membantu golongan miskin dan mereka gembira untuk mengambil bahagian,” tambahnya.

Chan berkata kerajaan boleh membantu pengusaha dengan mengurangkan kadar sewa premis di bangunan milik kerajaan.

“Insentif ini sekurang-kurangnya dapat menggalakkan peniaga melaksanakan program tersebut. Kalau peniaga bantu rakyat, kenapa kerajaan atau pihak berkuasa tidak boleh bantu peniaga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Sabah Nasir Yusof berkata kebanyakan restoran India Muslim di pantai barat telah bersetuju untuk menyertai inisiatif itu bermula 15 Feb.

Beliau berkata hidangan asas berharga RM5 itu terdiri daripada nasi, ayam atau ikan, sayur-sayuran dan segelas air sejuk atau suam. Ia akan dihidangkan antara 11 pagi dan 2 petang setiap hari.

Beliau berkata kebanyakan ahli berminat untuk melaksanakannya manakala ada yang berkata mereka akan melaksanakannya pada satu tarikh kemudian.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, pemilik Restoran Pak Mus, Musli Oli berkata pengusaha yang melaksanakan Menu Rahmah sukar untuk bertahan jika kerajaan tidak mengambil langkah membantu mereka.

“Sebagai contoh kos satu kilogram ayam di Semenanjung Malaysia adalah kira-kira RM10 tetapi di Sabah RM12.90. Tetapi kami menawarkan ‘Menu Rahmah’ pada harga yang sama.

“Perbezaan harga bahan mentah begitu ketara dan saya bimbang kita tidak akan dapat mengekalkan ‘Menu Rahmah’ untuk tempoh yang lama jika kerajaan tidak membantu.

“Adalah menjadi harapan saya agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menyeragamkan harga bahan mentah antara Sabah dan Semenanjung Malaysia kerana sukar untuk mengekalkan harga RM5 untuk hidangan ‘Menu Rahmah’,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah dan rombongan yang menjayakan Program Santai Menu Rahmah di Restoran Pak Mus semalam.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top