KOTA KINABALU: Sejak lebih setahun pandemik COVID-19 melanda negara, pengusaha dan pemandu bas henti-henti di negeri ini tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada kerajaan.
Dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang semakin ketat, situasi yang dihadapi pemandu dan pengusana bas berkenaan semakin ‘sakit’ akibat tiada bantuan yang diterima untuk meringankan beban mereka.
Mereka turut menganggap seperti ‘dianaktirikan’ hingga menyebabkan mereka tidak mampu meneruskan operasi semasa pandemik COVID-19.
Pengusaha bas henti-henti Kinarut Latif Ibrahim, 44, berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda pendapatan pengusaha dan pemandu bas henti-henti memang terjejas teruk.
“Pengumuman bantuan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini juga mengenepikan pengusaha dan pemandu bas henti-henti.
“Pengangkutan awam di seluruh Malaysia yang lain diberikan bantuan tetapi tidak kepada bas henti-henti.
“Ada sekali bantuan diberikan tapi itu pun hanya kepada pemilik individu dan bukannya pemilik berstatus syarikat seperti kami,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Selain itu katanya, penutupan banyak sektor ekonomi menyebabkan bilangan penumpang turut berkurang.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menunggu berjam-jam hanya untuk memenuhkan penumpang mengikut 50 peratus kapasiti yang dibenarkan.
“Jika dahulu bas mini boleh membawa 14 penumpang, kini hanya boleh membawa tujuh penumpang dan bagi bas mini yang lebih kecil, kini hanya boleh membawa enam penumpang.
“Kami sangat terkesan jadi apa bezanya bas henti-henti dengan pengangkutan awam lain seperti e-hailing, bas pelancongan dan bas sekolah yang sama-sama terjejas pendapatan berikutan pandemik COVID-19,” katanya.
Latif berkata, nasib yang menimpa pihaknya mungkin disebabkan tiada satu persatuan besar yang boleh membantu menyuarakan masalah mereka kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, sebelum ini ada persatuan bas bumiputera Sabah namun, sudah lama persatuan itu terkubur. Itu menyebabkan suara mereka kurang diberi perhatian.
Bagi pemandu bas Putatan Saharudin Nordin, 35, sekarang ini mereka beroperasi hanya untuk menampung kos penyelenggaraan bas sahaja, bukan lagi ingin mendapatkan keuntungan.
“Pendapatan kami cukup terjejas namun sudah lebih setahun langsung tiada bantuan untuk pemandu bas henti-henti. Pengangkutan awam yang lain semuanya diberikan bantuan secara one-off.
“Biarpun pada Mac tahun lepas, semua sektor ekonomi ditutup termasuk operasi bas henti-henti tapi, satu sen bantuan pun tidak diberikan kepada kami. Seolah-olah kami dianaktirikan.
“Kami juga punya keluarga dan anak untuk diberi makan. Tanpa pendapatan harian, bagaimana untuk memberi makan anak-anak,” katanya.- Utusan Borneo