Pengusaha Pelancongan Luar Bandar Sabah Wajar Dapat Bantuan Khas Kerajaan Persekutuan – FeRTAS

fertas.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persatuan Persekutuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) mengalu-alukan bantuan kerajaan kepada pengusaha pelancongan yang amat terjejas dengan pendemik Covid -19.

Presidennya, Walter Kandayon berkata, pengusaha pelancongan khususnya pelancongan luar bandar Sabah wajar mendapat bantuan khas Kerajaan Persekutuan.

Beliau merujuk kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada 28 Mac 2022 berkaitan bantuan khas berjumlah RM85 juta.

“Bantuan kerajaan kepada pengusaha pelancongan amat wajar kerana hampir semua pengusaha pelancongan, khususnya pelancongan luar bandar di Sabah terkesan selepas tidak beroperasi secara konsisten selama lebih 2 tahun.

“Walau bagaimanapun FeRTAS agak terkilan kerana bantuan khas itu hanya dikhususkan untuk operator yang berdaftar dngan MOTAC,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Susulan itu FeRTAS telah membawa isu tersebut ketika mengadakan kunjungan hormat dengan pengarah MOTAC Kota Kinabalu, Ibrahim Othman di pejabatnya baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu Walter dan Ibrahim berkongsi pendapat yang sama bahawa pelancongan luar bandar Sabah amat penting kerana kebanyakan khazanah pelancongan yang menarik di Sabah berada di luar bandar.

Walter juga telah menekankan tentang usaha-usaha membangunkan pelancongan luar bandar ini sejak 2014.

Tambahnya, agensi pelancongan negeri seperti Sabah Tourism Board (STB) telah mengorak langkah awal merintis pembangunan pelancongan luar bandar di Sabah.

“STB secara konsisten menyalurkan bantuan untuk membangunkan fasiliti produk-produk pelancongan. Inisatif kerajaan seperti ini sangat penting untuk menyuntik semangat dan meningkatkan komitmen pengusaha luar bandar yang rata-rata kurang kemampuan untuk memulakan usaha membangunkan pelancongan.

“Selaras dengan usaha memperhebatkan kemajuan pelancongan, kita telah mengambil inisiatif menubuhkan persatuan pelancongan daerah yang bertujuan menyelaras aktiviti dan pembangunan pelancongan setempat,” katanya.

Menurut Walter, dalam tempoh beberapa tahun sahaja, pelancongan luar bandar berkembang pesat di mana beberapa Community Based Tourism (CoBT) di Kadamaian, Kota Belud mendapat pengiktirafan di peringkat Asean pada tahun 2019. Kini pelancongan luar bandar Sabah sedang menjadi rujukan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

“Ketika ini kita ada lebih 500 pengusaha pelancongan di luar bandar di Sabah. Mereka ini turut menyumbang kepada pertumbuhan dan kegiatan ekonomi dan sosial terutama di luar bandar,” ujarnya.

Walter turut merayu kerajaan persekutuan khususnya MOTAC, supaya melihat perkembangan positif pengusaha atau operator pelancongan luar bandar di Sabah dan seterusnya mewujudkan bantuan khas khususnya kepada mereka. – Sabah Media

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top