Pengusaha Bot Diminta Tidak Tamak Kejar Keuntungan

ketua-umno-bhg-semporna.jpg

Abdul Manan menyampaikan sumbangan kepada salah sebuah keluarga mangsa.

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Pengusaha bot penambang diminta supaya tidak bersikap tamak dan mementingkan keuntungan sahaja sehingga mengabaikan aspek keselamatan semua penumpang.

Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan berkata tragedi bot karam di perairan Pulau Timbun Mata pada Khamis lalu perlu dijadikan pengajaran semua pihak agar tidak memandang ringan soal keselamatan di laut.

“Jangan sebab kita sudah biasa di laut, maka soal keselamatan diabaikan sedangkan kemalangan itu boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kita tidak boleh ramal apa yang berlaku, namun kemalangan itu boleh dicegah daripada menjadi teruk sekiranya ia terjadi,” katanya selepas memberi sumbangan kepada mangsa bot karam di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha bot penambang di daerah ini dalam masa terdekat untuk memastikan kejadian seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

“Saya juga akan membawa perkara ini dalam Mesyuarat Tindakan Daerah agar semua bot penambang yang beroperasi dan bot persendirian perlu mempunyai jaket keselamatan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, semua biro UMNO Semporna juga akan digerakkan bagi memberi kesedaran khususnya kepada pengusaha dan penumpang bot supaya mengambil langkah keselamatan setiap masa.

“Difahamkan bot yang karam ini kecil sahaja tetapi membawa 20 penumpang dan ramai kanak-kanak termasuk yang berumur satu tahun.

“Saya harap kejadian ini akan menjadi pengajaran kepada kita semua yang masih hidup agar berfikir dahulu sebelum melakukan tindakan,”katanya.

Terdahulu, dalam kejadian pada Khamis lalu, tujuh mangsa maut daripada 20 penumpang selepas bot dinaiki karam ekoran cuaca buruk.

 

Sumber berita; Utusan Online

Sumber foto: FB Umno Bahagian Semporna


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top