Pengusaha Bas Ekspres Sabah Rayu Dibenar Beroperasi Dengan SOP Seperti Dulu

bas-ekspres.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Majlis Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC) Donald Hanafi menggesa kerajaan membenarkan pengoperasian semula dengan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini.

Katanya, ini termasuk mengehadkan jumlah penumpang, iaitu 50% daripada kapasiti serta diberi kebenaran merentas daerah oleh pihak berkuasa.

“Kami juga menyeru agar mereka yang telah menerima vaksin Covid-19 dibenarkan menaiki bas untuk merentas daerah dengan hanya menunjukkan sijil telah divaksin yang ada dalam aplikasi MySejahtera.

“Bagi saya, ini boleh dilakukan kerana situasi Covid-19 di Sabah tidak sama seperti di Semenanjung, malah ketua menteri juga telah mengumumkan kelonggaran untuk beberapa sektor termasuk aktiviti sosial,” katanya kepada FMT.

Donald berkata, pengusaha bas ekspres mengalami kerugian teruk sejak operasi perkhidmatan itu dihentikan susulan larangan merentas daerah.

Katanya, SEBOC telah membuat permohonan kepada pihak kerajaan dan berharap ia diluluskan.

“Sebagai pengusaha bas, kami juga tidak mahu kes Covid-19 terus meningkat tetapi saya yakin ia boleh dielakkan sekiranya semua SOP dipatuhi.

“Setakat ini, belum ada kluster membabitkan penumpang bas ekspres dan saya yakin kita boleh mengelaknya kerana apa yang penting adalah patuh kepada SOP,” katanya.

Donald berkata, pemandu bas ekspres di Sabah juga akan terus tertekan kerana hilang punca pendapatan sekiranya tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh yang panjang.

Katanya, walaupun menerima beberapa bantuan seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, mereka tidak mampu bertahan lama dengan pendapatan pemandu bas yang hanya bergantung kepada perjalanan, iaitu kira-kira RM70 hingga RM80 untuk setiap perjalanan.

“Kini mereka hanya ‘standby’ di rumah, iaitu hanya dipanggil bekerja jika ada perjalanan yang perlu dilakukan seperti menghantar barang ke Tawau, Sandakan dan lain-lain daerah.

“Sekarang walaupun bas ekspres beroperasi untuk tujuan menghantar barang, pendapatan pengusaha bas ekspres masih teruk kerana tidak banyak premis dibuka, ditambah lagi tidak banyak barang yang hendak dihantar,” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top