Pengurusan Pentadbiran Dan Kehidupan Rakyat Perlu Jadi Fokus Utama – Shafie

shafie.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Pengurusan pentadbiran dan kehidupan rakyat perlu dijadikan fokus utama dalam usaha membawa Malaysia maju ke hadapan.

Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, rantau asia dan dunia tidak akan menunggu Malaysia dalam usaha mereka untuk mencari lokasi pelaburan.

“Pentadbiran memerlukan duit supaya bukan sahaja untuk perbelanjaan segera tetapi juga yang mendesak untuk kebajikan rakyat.

“Saya bimbang keadaan kini, sudah tiga kanak-kanak di Kelantan terkorban akibat bencana alam.

“Saya bimbang bagaimana pengurusan pentadbiran yang diperlukan…untuk tempat tidur penduduk, makanan dan sebagainya, ini memerlukan pengurusan yang baik,” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, semalam.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, kerjasama erat diperlukan dari setiap kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat. Jangan menjadikan perbezaan fahaman politik sehingga menjejaskan kebajikan rakyat.

Katanya, perkara penting adalah untuk menyelamatkan nyawa manusia serta bantu rakyat yang terdesak.

Dalam pada itu katanya, pembentangan Bajet Mini sebenarnya tidak perlu dibahaskan kerana ianya sudah diselesaikan dan diluluskan. Ia hanya melibatkan emolumen gaji pegawai-pegawai dan pengurusan pentadbiran negara ini.

Bagaimanapun katanya, sekiranya perkara itu tidak diluluskan ianya sudah pasti akan membantutkan pengurusan kerajaan.

“Sebahagiannya itu juga dari segi yang kita katakan sebagai projek sambungan yang sudah pun diluluskan pada Belanjawan sebelum ini.

“Ia berkaitan projek nak dilaksanakan, bukan projek baharu…sekiranya ada projek baharu, barulah perlu perbahasan,” katanya.

Sementara itu, Shafie berharap selepas selesainya undi percaya di Dewan Rakyat kelmarin, tidak lagi wujud suara-suara yang mempertikaikan keabsahan, jumlah dan sebagainya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita sedar bahawa tiada keperluan ia dilakukan di Dewan Rakyat, tetapi sekurang-kurangnya kita paparkan bukan sahaja kepada rakyat negara ini tetapi juga masyarakat antarabangsa.

“Ini kerana kadang-kadang tanggapan masyarakat antarabangsa tentang ketidakstabilan politik Malaysia sedikit sebanyak mendatangkan kesan kepada pelaburan ke negara ini.

“Jadi dengan hanya ada keabsahan ini, semua yang berkaitan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan kita yakin ini dapat membantu bukan sahaja kestabilan politik tetapi juga dari segi ekonomi di mana tumpuan perlu diberikan.

“Misalnya, bukan sahaja menumpukan masalah kehidupan rakyat tetapi juga pengangguran, inflasi barangan serta masalah banjir yang dilanda seluruh negara,” katanya.

Beliau bersimpati kepada rakyat khususnya di Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu disebabkan bencana banjir.

“Difahamkan Pahang juga dilanda bencana ini, saya juga yakin Sabah tidak terkecuali daripada bencana ini dan kita berdoa semuanya dalam keadaan selamat,” katanya. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top