Pengurusan Krisis Kesihatan Tanggungjawab Bersama – Ewon

ewonbanedick.jpg

Gambar fail.

Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, pengurusan krisis kesihatan adalah tanggungjawab bersama sama ada kerajaan atau pembangkang.

Sebab itu katanya, beliau memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjayakan Program Vaksinasi khususnya di kawasan Kadamaian.

“Kalau dari segi pengurusan krisis kesihatan kita tidak perlu melihat siapa pembangkang dan kerajaan kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

“Walaupun saya wakil rakyat di luar kerajaan sekarang namun saya tidak melihat pengurusan krisis kesihatan perlu dibezakan antara kerajaan dan pembangkang.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama, sebab itu saya datang pada hari ini untuk memberi sokongan dan mengucapkan penghargaan kepada KKM atas usaha mengadakan program vaksinasi di kawasan Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan pada Program Outreach Imunisasi Covid-19 menerusi Task Force Imunisasi Covid-19 (CITF) di Dewan Lasau Minunsud, di sini, pada Ahad.

Ewon yang juga Naib Presiden Upko berkata, pihaknya juga berkempen untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mendaftar dan menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Pada masa yang sama, saya juga bertanggungjawab untuk melengkapkan apa yang kurang dari segi kemudahan di sini. Misalnya pada hari ini ada aduan khemah tidak mencukupi, jadi saya setuju untuk tambah.

“Selain itu saya juga menambah sedikit bantuan makanan untuk para penerima vaksin iaitu makanan dan minuman.

“Ini adalah antara sumbangan saya untuk melengkapkan program kerajaan dan dewan ini juga dibina atas inisiatif kita. Saya bersyukur ia digunakan untuk program hari ini,” katanya. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top