Pengundi Sabah di Johor perlu sokong PH – Peter Anthony

peter-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyeru rakyat Sabah yang menetap di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Presidennya Datuk Peter Anthony berkata kemenangan calon daripada kerajaan sangat penting bagi meneruskan agenda pembangunan serta memelihara kebajikan dan meningkatkan sosioekonomi penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Johor merupakan negeri yang mempunyai populasi rakyat Sabah terbanyak selain Selangor. Saya percaya, rakyat Sabah yang telah menetap di Johor bijak untuk memilih dan pastinya mereka mahukan pemimpin yang bukan daripada parti yang sering memainkan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

“Pilihlah pemimpin yang mampu membawa kesinambungan terhadap pembangunan di kedua-dua kawasan, kita tahu Allahyarham (Datuk Seri Salahuddin Ayub) terkenal dengan inisiatif Rahmah bukan sahaja banyak berbakti kepada rakyat seluruh negara, tetapi juga di kawasan diwakili beliau sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata tindakan sesetengah pemimpin politik, terutama daripada pembangkang sering memainkan isu 3R tidak boleh diterima di Sabah, justeru beliau yakin orang Sabah khususnya di Johor juga tidak boleh menerima ‘permainan sentimen’ oleh pembangkang.

“Sebelum ini, ketika pilihan raya di enam negeri, saya telah bertemu dengan ramai orang Sabah terutama yang telah menetap di Selangor. Mereka memberitahu, semangat perpaduan dalam kalangan mereka begitu utuh walaupun tinggal di perantauan, sama seperti ketika berada di Sabah.

“Mereka mahukan suasana harmoni sama seperti di negeri asal mereka, suasana yang tidak mempunyai masalah berkaitan bangsa dan agama sejak sekian lama. Justeru, berilah sokongan kepada calon kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu ini, demi kesetabilan politik dan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top