KUALA LUMPUR: Kumpulan pengundi muda akan menjadi golongan penentu, atau ‘king maker’ dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, yang bakal membuka tirainya dengan hari penamaan calon pada 12 September ini.
Menurut kajian Society Empowerment & Economic Development Sabah (Seeds), pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun merangkumi 17.75 peratus daripada keseluruhan pengundi Sabah, manakala antara 31 hingga 40 tahun sebanyak 25.99 peratus.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan pengundi Sabah yang layak memilih kali ini ialah sekitar 1.124 juta orang.
Dalam kajian itu, Seeds berpendapat, pengundi dalam golongan antara 21 hingga 40 tahun adalah paling agresif, sukar dijangkakan, mudah bertukar pendirian, dan sering kali dipengaruhi emosi serta berani mengambil risiko.
“Untuk mempengaruhi mereka, memerlukan banyak pragmatism, kesabaran, serta dialog yang inovatif,” menurut kajian yang bertajuk ‘Seeds Sabah Electoral Project 2020’ itu lagi.
Seeds berkata, kumpulan pengundi ini juga dilihat sebagai mempunyai gaya pandangan tersendiri terhadap sesuatu isu, dan mempunyai kelebihan mengakses maklumat dengan cepat melalui media sosial dan alam digital.
Jelas badan pemikir itu lagi, golongan ini tidak mempunyai kesetiaan yang tetap kepada mana-mana parti politik.
Seeds berkata, kecenderungan pengundi muda untuk memilih, boleh berubah daripada kredibiliti calon, kepada faktor parti, dalam masa sehari atau pun dalam masa sejam, jika motivasi itu cukup kuat.
“Kadar sebaran pengundi muda adalah lebih kurang sama untuk kesemua kawasan di seluruh Sabah, tetapi sedikit tinggi di kawasan timur selatan Sabah. Ini bermaksud kawasan pendalaman lebih ramai pengundi muda berbanding kawasan bandar.
“Dan ini juga memberi indikasi bahawa strategi kempen secara tradisional mungkin tidak akan memberikan kesan maksimum seperti sebelumnya,” kata badan pemikir itu lagi.
Dalam kajian itu, Seeds berkata, dapatan diperoleh daripada sejumlah 2,350 responden yang mempunyai latar belakang pelbagai, di 25 kawasan parlimen Sabah.
Ia berkata, kadar keyakinan terhadap kajian itu adalah sebanyak 95 peratus, manakala margin kesilapan adalah sekitar 2.5 peratus.