Pengumuman ‘Lockdown’ Saat Akhir Rosakkan Rancangan Perniagaan – Rafidah

rafidahaziz.jpg
Kongsi Bersama

Kerajaan mesti lebih jelas dalam perancangannya menguruskan wabak kerana membiarkan golongan peniaga dalam keadaan tertanya-tanya sehingga pengumuman saat akhir hanya akan menambahkan kesusahan mereka, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini bahawa fasa sekatan pergerakan penuh dalam Pelan Pemulihan Negara akan diteruskan sehingga bilangan kes harian dan sasaran vaksinasi mencapai sasaran, hanya sehari sebelum ia dijadualkan tamat.

Dalam kenyataan, Rafidah berkata pengumuman seperti itu tidak patut dibuat “pada saat akhir,” kerana ramai yang telah membuat persediaan untuk penamatan sekatan atau kelonggaran syarat pergerakan.

“PKS, pemilik tunggal dan perniagaan secara umum telah membuat perancangan untuk pelaburan baharu, memulakan operasi mengikut SOP ditetapkan, malah juga pelantikan pekerja baharu.

“Semua keputusan mereka itu dapat memberi kesan positif terhadap masyarakat dan ekonomi,” katanya.

Selain memberi notis lebih lama untuk sebarang pengumuman berkaitan sekatan pergerakan, beliau berkata ramai peniaga kecil-kecilan selain daripada industri makanan tidak dapat pulih selepas dipaksa tutup, seterusnya beliau mencadangkan kawasan khusus diwujudkan untuk membolehkan golongan itu terus beroperasi.

Rafidah mencadangkan kawasan seperti itu diasingkan mengikut jenis perniagaan, seperti makanan, pakaian, barangan basah dan barangan keperluan rumah, dengan SOP ketat dikuatkuasakan.

“Kenal pasti apakah kategori perniagaan yang boleh dibenarkan beroperasi, dengan lingkungan keselamatan sewajarnya.

“Pelan Pemulihan Negara bukan sekadar pemulihan daripada Covid-19.

“Ia mengenai perancangan selari bagi memastikan masyarakat dan ekonomi dapat mula berfungsi secara berkesan, bersertakan akal dan garis waktu logik.” – FMT

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top