Pengukuhan blok Borneo bukan untuk gugat kestabilan politik – GPS

alexander.jpg

DS Alexander Nanta Linggi (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengukuhan blok Borneo menerusi kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan bertujuan untuk menggugat kestabilan politik di negara ini.

Kerjasama antara GPS dan GRS adalah bagi membantu menstabilkan politik di peringkat Pusat, itu yang lebih utama.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kestabilan politik di negara ini penting dalam memastikan pembangunan infrastruktur dapat diteruskan.

“Pada pandangan GPS, saya ingat GRS pun berpandangan lebih kurang sama bahawa kami bukan mahu menggugat kestabilan politik, kami di sini untuk menstabilkan politik di peringkat Pusat.

“Itu jauh lebih penting supaya suasana di negara kita aman dan tiada gangguan. Pilihan raya yang lepas biarlah lepas.

“Kini masa untuk semua pihak, tidak kira GPS, GRS malah, kesemua parti lebih-lebih lagi parti di Semenanjung yang baharu bertembung dalam pilihan raya beberapa negeri.

“Kita minta mereka tumpukan perhatian kepada usaha mentadbir negeri masing-masing dan biarlah Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Perdana Menteri mengurus (negara) dengan lebih baik,” katanya ketika ditanya mengenai usaha mengukuhkan kerjasama dalam blok Borneo di Sarawak dan Sabah.

Menteri Kerja Raya yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) itu berkata, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab menstabilkan negara dari segi politik dan juga membangunkan ekonomi yang kini semakin mencabar.

“Banyak yang perlu dilakukan untuk rakyat. Bukan sekadar projek fizikal tetapi, apa yang penting buat masa ini adalah kesejahteraan rakyat yang dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Namun, di peringkat Persekutuan, banyak inisiatif dan strategi yang telah diumumkan untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Maka, biarlah inisiatif itu dilaksana dengan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top