Pengorbanan Besar Bumburing Untuk PCS

PCS.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Veteran politik Sabah, yang juga Timbalan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Wilfred Bumburing tidak bertanding sebarang kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Menurut Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman, Bumburing mengambil keputusan itu bagi memberi tumpuan membantu calon-calon PCS lainnya menang di kerusi masing-masing.

“Ini pengorbanan besar dan kita (akan) angkat Bumburing sebagai calon Parlimen nanti,” kata Anifah ketika berucap pada majlis pengumuman calon PCS di sini, semalam.

Pada majlis itu Anifah mengumumkan PCS bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Anifah berkata, seramai 70 calon telah ditentukan, manakala tiga lagi calon masing-masing melibatkan DUN Banggi, Matunggong dan Sulaman, masih sedang dinilai parti itu.

Menurut bekas Menteri Luar itu, beliau akan bertanding di DUN Bongawan, dan Naib Presidennya Datuk Dr Ewon Ebin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, bertanding DUN Kundasang.

PRN Sabah bakal menyaksikan pertandingan 73 kerusi DUN, dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan Sabtu ini, untuk penamaan calon dan 26 Sept sebagai hari mengundi.

Anifah berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk meletakkan calon di semua kawasan, kerana mahu menunaikan permintaan penyokong parti di kawasan-kawasan berkenaan, yang mahukan calon PCS.

“Saya percaya semua kawasan di Sabah menginginkan calon daripada PCS. Kita mahu berkhidmat untuk rakyat…oleh itu rakyat tidak akan ragu lagi untuk memilih kita, sekiranya kita ada calon di semua kawasan.

“Saya yakin kita akan menang di semua kawasan.. kerana kita mau parti tempatan Sabah tanpa dibantu parti dari Semenanjung, yang mentadbir negeri ini dan itu yang rakyat Sabah mahukan,” tegasnya.

Beliau berkata, mentadbir Sabah tanpa campur tangan parti dari Semenanjung bukan bererti mahu bermusuhan dengan parti daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan bekerjasama dengan kerajaan pusat, namun kita tidak mahu mereka campur tangan… kita mahu mentadbir negeri sendiri,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top