Penglipur Lara: Kisah Makcik Piah dan Perutusan Khas PM

ayam-lari.jpg
Kongsi Bersama

Tepat jam 3.30 petang tadi Makcik Piah (bukan nama sebenar) terpacak depan TV. Kebetulan dia tak berniaga hari ini.

Marah betul dia bila  cucu-cucunya riuh rendah di ruang tamu.

“Diam la…orang nak dengar PM nak umum apa ni…”

Cucu-cucunya diam. Faham sangat mereka yang sejak PKP 2.0 ini, nenek mereka lain macam sikit. Cepat aje naik anginnya.

Kemudian PM muncul di kaca TV. Cucu-cucu habis pakat lari naik ke tingkat atas.

Makcik Piah menekuni perutusan PM itu.

Ada ghairah di mukanya. Pakej apa yang akan diumum. Bantuan apa yang dia dan mereka yang sepertinya akan dapat. Mereka yang dahulunya di gerai penuh orang, tetapi sekarang terpaksa bergantung pada orang yang singgah beli dan bawa pulang. Mereka yang modal hariannya lebih besar daripada ‘untung’…

Sekitar pukul empat perutusan PM tamat.

Makcik Piah tutup TV. Muncungnya lapan inci.

“Tu kenapa yang pakat senyap kat atas tu? Buat apa?” jeritnya pada cucu-cucu di atas.

“Awak ni, budak-budak tu bising awak marah, mereka senyap pun awak marah,” tegur suami Makcik Piah yang sepanjang pengumuman tadi langsung tak masuk dekat TV.

“Awak DIAMMMM!” sergah Makcik Piah…dan muncungnya semakin panjang!

Waktu itu ada ayam jiran berkokok dari luar. Waktu jugalah Makcik Piah meluru keluar…mengejar ayam itu di sekeliling taman…

 

Kisah tidak benar ini diceritakan semula oleh: Tamar Jeles

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top