KOTA MARUDU: Penggunaan ‘retort food’ wajar diperluaskan ke Sabah bagi mengatasi masalah penyediaan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya menerima beberapa aduan kelewatan penyediaan makanan untuk mangsa yang baharu sampai di sesetengah PPS.
Maka, beliau melihat wujud keperluan agar penggunaan teknolog retort bagi menyediakan makanan kali pertama untuk mangsa yang baharu tiba di PPS wajar diperluaskan di Sabah.
“Saya difahamkan bekalan retort food dalam program rintis di Sabah ini diperolehi dari Semenanjung Malaysia.
“Sewajarnya usaha dilakukan supaya bekalan dapat diperolehi secara domestik di negeri Sabah sendiri.
“Ia penting bagi memastikan stok boleh didapati pada bila-bila masa yang diperlukan tanpa kekangan logistik udara atau laut,” katanya selepas melawat mangsa banjir PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek semalam.
Menurut Armizan, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam aspek penyediaan makanan di semua PPS di Sabah.
Katanya, beliau faham penyediaan makanan melalui teknologi retort masih dalam peringkat rintis maka, penyediaannya agak terhad dan belum meliputi semua negeri.
Namun, penggunaan retort food perlu diperluaskan segera bagi memudahkan penyediaan juadah awal untuk mangsa banjir di PPS.
Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar itu berkata, penyediaan retort food ini amat sesuai digunakan untuk memastikan makanan dapat disediakan dengan segera kepada mangsa yangtiba di PPS. Malah, ia juga menjamin kualiti makanan dari aspek kebersihan, keselamatan dan khasiat.
Menurutnya, menerusi tinjauan lapangan pada hari ini, beliau akan memastikan penambahbaikan dalam pengurusan bencana banjir akan dilakukan oleh agensi yang bertanggungjawab.
Jelas beliau, sebelum ini daerah Kota Marudu adalah kawasan yang paling teruk dilanda banjir dengan seramai 7,358 mangsa daripada 2,553 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS.