Pengguna Gagal Tunjuk Cukai Jalan Digital Tidak Akan Disaman

anthony-loke.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: “Tidak wajib memuat turun aplikasi MyJPJ kerana penguat kuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen melalui sistem dalam gajet penguatkuasaan.

Itu penjelasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selepas timbul banyak persoalan dalam kalangan pengguna selepas kenyataannya mengenai kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di kenderaan masing-masing mulai hari ini.

Anthony menerusi hantaran di Facebook berkata, memuat turun aplikasi MyJPJ hanya satu daripada opsyen untuk mendapat salinan digital untuk cukai jalan dan lesen memandu.

Menurutnya, selepas mengumumkan cukai jalan tidak lagi diwajibkan untuk dipaparkan di cermin kenderaan, hari ini, banyak persoalan yang timbul.

Justeru, katanya, beliau memberikan pencerahan kepada beberapa soalan yang sering dikemukakan.

“Antaranya, adakah akan disaman jika gagal menunjukkan cukai jalan digital. Jawapannya, tidak, kerana pihak penguat kuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen melalui sistem dalam gajet penguatkuasaan.

“Selain itu, orang ramai juga masih perlu membayar cukai jalan dan lesen memandu jika sudah tamat tempoh,” katanya.

Menurutnya, warga emas yang tidak memiliki telefon pintar dan capaian Internet masih boleh mendapatkan pelekat cukai jalan dan lesen fizikal dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya perlu.

Menerusi hantaran sama, Anthony berkata jika kereta dipandu oleh pemilik, cukai jalan digital boleh dicetak dan disimpan dalam kereta.

“Namun, kalau tak dapat tunjuk bukti pun, bukan satu kesalahan. Pihak penguat kuasa akan semak butiran dalam gajet mereka,” katanya.

Mengenai masalah orang ramai yang tidak dapat mendaftar masuk MyJPJ, beliau berkata, seperti mana-mana sistem yang baharu, sudah tentu ramai orang ingin mendaftar pada masa sama menyebabkan trafik sangat tinggi.

“Saya tahu ada banyak lagi persoalan oleh orang ramai. Saya akan cuba memberi penerangan yang sejelas-jelasnya.

“Saya sedar dalam apa saja proses perubahan, ia akan mengambil masa untuk disesuaikan. Ada pihak yang tidak akan setuju dengan perubahan itu.

“Saya menghormati semua pandangan dan cuba menguruskan perubahan sebaik mungkin, saya bersama pasukan di Kementerian Pengangkutan dan JPJ akan cuba memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul dalam proses perubahan ini.

“Sama-sama kita menuju ke arah yang lebih baik,” katanya. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top