Penggiat Sektor Pelancongan Diminta Jaga Imej Semporna

semporna.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Semua penggiat sektor pelancongan di sini diharap memberi kerjasama bagi menjaga dan memastikan imej industri pelancongan Semporna sebagai salah satu destinasi menarik di Sabah sentiasa terpelihara.

Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew berkata, ia harus dijaga dengan baik supaya industri ini tidak terjejas dengan kejadian yang tidak diingini melibatkan pelancong.

Katanya, setakat Januari hingga Jun ini terdapat 12 kes dilaporkan membabitkan pelancong termasuk gangguan seksual.

“Saya mengambil berat dan pandang serius perkara ini, sebab itu sesi dialog bersama beberapa jabatan kerajaan dengan pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan di Semporna diadakan.

“Objektif dialog ini adalah untuk memberi kesedaran akan kepentingan menghormati keharmonian budaya tempatan dan agama selain meningkatkan ekonomi serta urus sektor pelancongan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, jumlah kemasukan pelancong ke Semporna pada setiap bulan meningkat dan pada Mei sahaja seramai 40,563 pelancong ke Semporna berbanding April 27,805 pelancong.

“Justeru, sekiranya tidak dikawal isu yang mencemarkan imej Semporna, kita khuatir akan menjejaskan pendapatan ekonomi di sini,”katanya.

Alexander turut menjangkakan kehadiran pelancong terutama dari China ke Semporna akan terus meningkat pada bulan ini hingga Ogos.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berharap penggiat pelancongan berperanan menonjolkan contoh baik.

Katanya, penggiat pelancongan perlu memberi nasihat dan panduan kepada pelancong kendalian mereka agar tidak berdepan sebarang kejadian tidak diingini.

“Pemandu pelancong boleh beri nasihat kepada pelancong tentang hormati budaya tempatan, perkara yang boleh dilakukan, termasuk nasihat mengenai keselamatan kendiri serta penjagaan barang berharga.

“Dalam tempoh enam bulan ini terdapat 12 kes melibatkan pelancong direkodkan termasuk kes curi, cabul, dan ragut membabitkan 11 pelancong antarabangsa dan dua pelancong domestik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Farhan berkata pihaknya berharap agar pengusaha pusat peranginan, penginapan homestay termasuk kawasan tarikan pelancongan diletakkan kamera litar tutup (CCTV) bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan segera pelaku sekiranya berlaku kejadian jenayah.

Selain itu katanya, faktor kawasan gelap yang tidak berlampu juga menyumbang kepada kes jenayah kerana terdapat kejadian pelancong diragut ketika sedang berjalan kaki pada waktu malam. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top