Pengerusi PN, Ketua Bersatu Melaka Letak Jawatan

rafiq.jpg
Kongsi Bersama

Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta merta.

Naib Presiden Bersatu itu berkata, beliau akan menghantar surat peletakan jawatan kepada, Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin esok.

Beliau turut memohon maaf atas segala kekhilafan sepanjang menjalankan tugas berkenaan.

“Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka,” katanya di Facebook.

Peletakan jawatan ini katanya, adalah bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang cukup bagi membuat segala persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jelas Mohd Rafiq, langkah melepaskan jawatan itu juga bagi membolehkan segala fokus dapat diberikan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN di Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

“Ia juga bagi membolehkan saya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU15,” katanya.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka 20 Nov lepas, Mohd Rafiq yang berdepan saingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri Telok Mas tewas kepada calon Barisan Nasional Abdul Razak Abdul Rahman dengan majoriti 2,076 undi.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top