Pengendali Feri Labuan Akan Naikkan Tambang Mulai 1 Jan

feri-labuan.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

LABUAN: Labuan Mainland Link Sdn Bhd akan menaikkan harga tiket bagi tiga ferinya di laluan Labuan-Menumbok-Labuan mulai 1 Jan 2023.

Pengerusinya Datuk Chin Hong Vui berkata kenaikan tambang 42.5 peratus bagi kenderaan persendirian dan komersial serta 73.3 peratus bagi motosikal akan menjadi semakan harga pertama bagi feri roll on-roll off (ro-ro) dalam tempoh 15 tahun.

Kenaikan tambang itu sepatutnya dilaksanakan pada November tetapi ditangguhkan selepas Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Pengangkutan mengkaji semula isu tersebut selepas mendapat bantahan orang ramai.

Chin berkata kenaikan tambang itu yang tidak akan melibatkan kenderaan perdagangan, dibuat selepas mengambil kira kenaikan kos operasi.

Labuan Mainland Link yang mengendalikan tiga feri iaitu MV Kimanis 1, MV Putrajaya 1 dan MV Goodwill Star, menawarkan perkhidmatan lima hingga lapan perjalanan setiap hari.

“Semakan ke atas tambang itu dibuat selepas 15 tahun tanpa perubahan dan selepas mempertimbangkan kenaikan kos operasi dan penyelenggaraan termasuk harga bahan api dan gaji minimum.

“Kami telah beroperasi lebih sedekad tanpa subsidi kerajaan walaupun telah mengemukakan beberapa permohonan.” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Tambang baharu bagi kenderaan sedan ialah RM57 bagi perjalanan sehala (berbanding RM40 sebelum ini) dan RM67 (naik daripada RM50) untuk MPV/SUV, kabin single/double dan semua jenis kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan van.

Tambang motosikal di bawah 250 cc ialah RM26 (sebelum ini RM11) manakala 250 cc dan ke atas perlu membayar RM41 (berbanding RM30 sebelum ini).

Selain laluan domestiknya, feri MV Joy Star akan menawarkan khidmat laluan antarabangsa antara Labuan dan Muara, Brunei.

Chin berkata syarikat itu telah melabur puluhan juta ringgit bagi perolehan empat feri untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat, selesa dan cekap untuk penumpang sambil menambah semakan itu dibuat selepas lebih enam bulan perancangan.

“Kami tidak akan menaikkan tambang bagi kenderaan perdagangan seperti lori dan treler kerana ia akan menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna di Labuan,” katanya.

Beliau berkata kenaikan gaji minimum pekerja sebanyak RM300 kepada RM1,500 sebulan telah menyumbang kepada peningkatan setiap gred atau skala gaji keseluruhan syarikat iaitu menyebabkan kenaikan 25 peratus dalam kos operasinya.

Satu lagi pengendali feri ro-ro, Juta Bonus Development Sdn Bhd memutuskan untuk tidak menaikkan harga tiket bagi dua ferinya, MV Galaxy dan Blue Ocean yang menawarkan laluan Labuan-Menumbok-Labuan. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top