KOTA KINABALU: Pengembara antarabangsa yang ingin memasuki Sabah tidak perlu lagi membuat ujian saringan Covid-19 serta-merta sebaik tiba di pintu masuk negeri.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pengembara luar negara kini diberi pilihan sama ada menjalani ujian di pintu masuk antarabangsa semasa ketibaan atau di luar pintu masuk dalam tempoh 24 jam.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkenaan diwajibkan untuk semua pengembara antarabangsa yang memasuki negeri ini sama ada melalui udara, darat atau laut.
“SOP ini selaras dengan ketetapan sedia ada prosedur masuk ke Malaysia oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pengembara antarabangsa yang ‘transit’ di pintu masuk antarabangsa Malaysia di luar Sabah juga dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke negeri ini dan diberi pilihan sama ada jalani ujian saringan di pintu masuk semasa ketibaan atau di luar pintu masuk dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pengembara antarabangsa “transit” melalui Singapura yang tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA) Sabah turut diberi pilihan sama.
Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, jumlah kes harian di Sabah pada Isnin sebanyak 48 iaitu jumlah terendah sejak 30 Mac tahun lalu.
Katanya, keadaan di semua daerah turut menunjukkan penstabilan dengan perubahan angka harian yang kecil, sama ada naik atau turun.
“Statistik jangkitan yang rendah ini adalah hasil keberkesanan vaksin yang telah diberi kepada hampir keseluruhan penduduk yang layak di Sabah selain tahap pematuhan SOP yang tinggi di kalangan rakyat negeri ini.
“Adalah diharapkan agar disiplin tinggi ini terus diamalkan apatah lagi semasa kita merayakan sambutan Aidilfitri pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah kes semalam, sebanyak 43 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam kategori 4 dan seorang pesakit dalam kategori 5. – FMT