Pengeluaran Beras Sabah Hanya 22 Peratus SSL

padi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tahap pengeluaran beras atau tahap sara diri (SSL) Negeri Sabah hanya 22 peratus sahaja setakat ini.

Ini bermakna pengeluaran beras Sabah masih berada pada tahap kurang memuaskan dan terlalu bergantung kepada import dan penghantaran beras daripada negeri-negeri lain.

Utusan Malaysia dalam laporannya memetik Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai berkata, jika SSL beras negara mencapai tahap 70 peratus tetapi di Sabah, tahap SSL beras hanya sekitar 22 peratus sahaja.

Maka, menerusi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM250 juta bagi keseluruhan program pembangunan jelapang padi berskala besar di Kota Belud.

Langkah itu bagi membolehkan pengeluaran beras tempatan dipertingkatkan sekali gus meningkatkan tahap SSL beras di negeri ini.

“Dengan penambahbaikan infrastruktur yang ada di IADA, kita akan mampu meningkatkan pengeluaran beras di Sabah.

“Malah, kita telah meminta Jabatan Pertanian negeri untuk melakukan kajian bagi mengenal pasti varieti padi baharu yang mampu mengeluarkan beras yang hasil tuaian yang lebih tinggi,” katanya selepas melancarkan promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Tamu Jalan Gaya kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan juga komited mengurangkan kebergantungan kepada import beras negara yang kini pada tahap 30 peratus.

Justeru, pelbagai usaha dan pendekatan baharu diambil menerusi Dasar Agromakanan bagi meningkatkan ketersediaan makanan di negara ini.

“Usaha meningkatkan sekuriti makanan merupakan proses yang berterusan maka, kita perlu ada kemampuan untuk mengeluarkan bekalan.

“Ketika ini, kita cuma mengimport barangan yang tidak mencukupi dan tidak dikeluarkan di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha diambil oleh agensi-agensi di bawah MAFI untuk tingkatkan sara diri pengeluaran produk makanan di negara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, pada masa ini bekalan makanan di negara stabil namun, masih ada produk makanan yang perlu diimport bagi menampung keperluan tempatan.

Mengenai jelajah promosi itu, beliau berkata, Sabah menjadi perhentian terakhir mempromosikan MAHA 2022 yang akan berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pameran pertanian yang akan disertai 1,500 gerai pameran itu dijangka akan menjana RM250 juta potensi nilai jualan termasuk melalui padanan perniagaan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top