Pengeluaran Beras Sabah Di Paras Terendah Sejak 1980-an

Dr-Jeffrey-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kadar pengeluaran beras di Sabah jatuh ke paras terendah sejak 1980-an, iaitu 74,000 tan metrik berbanding keperluan sebenar 400,000 tan metrik.

Susulan itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, Sabah terpaksa mengimport kira-kira 320,000 tan metrik beras bagi memenuhi keperluan penduduk negeri itu.

“Padi adalah tanaman ruji di Sabah, tetapi pada 2020, tahap sara diri pengeluaran beras jatuh ke paras terendah 22.81%, satu angka yang tidak pernah kita lihat sejak 1980-an.

“Kita terpaksa mengimport sehingga mencapai rekod 320,000 tan metrik beras bagi memenuhi keperluan kerana Sabah hanya mampu mengeluarkan 74,000 tan metrik beras,” katanya  ketika pembentangan khas ‘Mentransformasi dan Memodenkan Pertanian Sabah Kepada Sebuah Rumah Kuasa Serantau’ pada hari kedua Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, pada Selasa.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, bagi mengubah situasi itu dan memastikan pengurusan industri padi serta beras yang lebih baik, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Lembaga Padi Sabah.

Katanya, lembaga berkenaan akan mengawal selia dan merancang pembangunan serta penambahbaikan industri untuk mencapai sasaran tahap sara diri 60% berbanding 22.81% ketika ini.

Jeffrey berkata, industri pertanian di Sabah berdepan pelbagai isu dan cabaran yang menghalang pembangunannya, termasuk kekurangan pelabur dan pemain industri, selain kurang promosi ke arah menjadikannya penyumbang terbesar ekonomi.

Katanya, pendekatan “urusan seperti biasa” yang diamalkan pemimpin dan penjawat awam, selain isu tanah, bekalan elektrik dan air, pandemik Covid-19 serta kekurangan buruh antara masalah dihadapi dalam membangunkan sektor pertanian di Sabah.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah mula menerima banyak cadangan pelaburan dalam tempoh 12 bulan lalu yang diharap dapat diperkukuhkan lagi selepas ini.

Beliau berkata, Sabah mempunyai banyak peluang pelaburan ke arah menjadikan Sabah sebagai Rumah Kuasa Serantau bagi produk makanan laut dan hasil marin, sarang burung, buah-buahan tempatan, produk minyak sawit, herba eksotik, sayuran dan bunga serta agro pelancongan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top