RANAU: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke plot tanaman bawang petani di bawah Projek Khas MADANI.
Sejak tahun 2020, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melaksanakan kajian untuk meningkatkan produktiviti bawang merah di negara ini. Kajian tersebut merangkumi pengadaptasian varieti sesuai dengan agroklimat tempatan, penanaman skala besar, kawalan serangan perosak dan penyakit, serta pengendalian lepas tuai dan analisis pasaran.
Hasil awal menunjukkan tiga varieti bawang—BAW-1, BAW-2, dan BAW-3—mempunyai potensi tinggi untuk ditanam di Malaysia. MARDI, dengan mandat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kini sedang dalam proses pengeluaran benih bawang merah melalui dua fasa: pra-pengkomersialan (2024-2025) dan pengkomersialan (2026-2030). Dalam fasa pra-pengkomersialan, MARDI telah melatih 15 usahawan benih bawang merah di bawah Projek Khas Inisiatif MADANI.
Pada tahun 2024, penanaman bawang akan diperluaskan ke negeri-negeri seperti Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Sabah. Di Sabah, MARDI telah mengenal pasti beberapa usahawan tani untuk menerima bimbingan teknikal. Antara yang terlibat adalah Shahrizal Denci, pemilik Syarikat D&H Plantation di Ranau, yang terpilih untuk projek pengeluaran benih bawang merah seluas 4 hektar. Projek yang bermula pada Jun 2024 ini dijangka menghasilkan 2.4 tan/ha dari varieti bawang merah BAW-2.
MARDI juga merancang untuk membimbing dua petani lagi di Sabah dengan hasil yang dijangka mencapai 1-2 mt setiap pengeluaran, dengan lebih ramai petani di negeri ini dijangka terlibat menjelang 2026.
Bersempena lawatan itu, Datuk Arthur menyampaikan insentif RM30,000 kepada pengusaha untuk membina rumah pengeringan bawang merah.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.