SANDAKAN: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama 38.52 gram syabu dalam satu operasi di Kampung Sentosa, Batu 10, Jalan Labuk, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, lelaki berumur 35 tahun terbabit ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas pemantuan selama sejam di kawasan perkampungan berkenaan.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pasukan operasi membuat serbuan dan pemeriksaan terhadap rumah suspek selepas menerima maklumat.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan enam paket plastik kecil lutsinar yang mengandungi ketulan hablur jernih yang dipercayai dadah jenis syabu.
“Selain itu, pasukan operasi turut menemukan 14 gulungan kertas timah yang dipercayai untuk aktiviti penagihan dadah.
“Pasukan serbuan turut menemukan sebuah lagi kotak berwarna merah mengandungi tiga paket plastik besar lutsinar mengandungi dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Abdul Rani berkata, suspek terbabit ditahan, manakala semua dadah jenis syabu berkenaan dirampas untuk tindakan selanjutnya.
“Semua dadah termasuk peralatan penimbang yang ditemukan dianggarkan bernilai RM4,710 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,”katanya. – Utusan Borneo