KOTA KINABALU: Langkah mengekalkan pengecualian surcaj elektrik kepada pengguna domestik di Sabah untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan bagi membantu meringankan beban hidup rakyat di negeri itu.
Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata ia membuktikan segala perancangan dan peruntukan diumumkan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah sebelum ini dilaksanakan dengan baik.
“Kita berterima kasih kerana Sabah juga dimasukkan dalam dasar berkenaan (pengecualian surcaj elektrik) …sebenarnya kita di Sabah menerima peruntukan RM800 juta setahun untuk memastikan SESB terus beroperasi seperti biasa.
“Ini kerana kos penjanaan SESB yang disalurkan adalah lebih tinggi daripada jualan kepada pengguna, jadi kita memerlukan kos berkenaan. Namun, kita sangat mengalu-alukan usaha kerajaan (pengecualian surcaj) demi pengguna yang ada di Sabah,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan pengecualian surcaj kepada pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, dikekalkan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini.
Ia susulan keputusan kerajaan melaksanakan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) secara bersasar dalam tempoh itu.
ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang membolehkan kos bahan api diselaras setiap enam bulan berdasarkan kadar turun naik harga global bahan api.
Mengulas lanjut, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata SESB juga kini sedang melaksanakan ICPT dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sementara itu, pegawai tadbir sebuah agensi kerajaan negeri, Mohd Asran Mohd Arif, 33, berkata beliau lega dengan pengekalan pengecualian surcaj itu dan menyifatkannya sebagai langkah yang baik bai membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa ini.
“Jika pengecualian surcaj ini tiada, sudah tentu tarif elektrik meningkat yang akan meningkatkan kos harian kita, jadi ini langkah yang baik, namun saya harap kerajaan dapat mencari jalan supaya tarif elektrik dapat dikurangkan atau sekurang-kurangnya terus dikekalkan bagi membantu rakyat,” katanya.
Pembantu kedai serbaneka, Deiryll Jolisan, 26, berharap usaha membantu pengguna di Sabah tidak hanya tertumpu kepada kos surcaj elektrik, sebaliknya aspek peningkatan mutu perkhidmatan bekalan elektrik juga perlu diberi perhatian.
“Kita menyambut baik apabila tarif elektrik tidak naik, tetapi jika perkhidmatan sama saja seperti selalu terputus bekalan dan buat catuan apabila bekalan terlalu tinggi, itu tidak sepatutnya berlaku.
“Jadi saya berharap kerajaan dapat melihat perkara ini juga,” katanya.
Pada 2 Mei lalu, SESB menerusi kenyataan, memaklumkan catuan elektrik terpaksa dilaksanakan di negeri itu bagi memastikan grid elektrik kekal stabil akibat permintaan tenaga elektrik yang tinggi berikutan cuaca panas melanda negara ketika itu.
SESB berkata, secara purata, permintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah adalah sekitar 970 megawatt (MW), namun pada 26 April lalu, negeri ini mencatat permintaan paling tinggi untuk tahun ini iaitu 1,029MW. – BERNAMA