Pengaruh PAS ‘lemah’ di Sabah, ,mungkin sukar tarik kerjasama – penganalisis

PAS.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berpendapat pengaruh PAS di Sabah yang tidak sehebat di Semenanjung mungkin kurang menarik perhatian mana-mana parti untuk bekerjasama, termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN dijangka tahun depan.

Mereka turut berpendapat situasi politik di peringkat persekutuan yang menyaksikan kedua-duanya berada di kem berbeza juga mungkin menyebabkan kerjasama GRS-PAS dizahirkan Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan semalam mungkin tidak menjadi realiti.

Menurut Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengikut rekod PAS tidak pernah menang pilihan raya di negeri itu dan hanya mempunyai wakil rakyat pertamanya menerusi Adun lantikan iaitu Aliakbar selepas PRN Sabah, empat tahun lalu.

“Mereka tiada kedudukan berpengaruh dan lemah di Sabah…saya berpandangan GRS tidak akan kerjasama dengan PAS dan meninggalkan kerajaan sedia ada (dengan menjadi sebahagian anggota parti kerajaan perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Lau berkata perbezaan politik di pusat juga dilihat menjadi penghalang utama kerjasama, di mana PAS sebahagian anggota Perikatan Nasional (PN) yang menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Selain GRS, kerajaan perpaduan turut dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Namun pentadbiran kerajaan Sabah membabitkan GRS, PH dan sebilangan kecil wakil rakyat BN.

Semalam, Aliakbar dilaporkan berkata PAS mengakui setakat ini selesa kerjasama dengan GRS yang terjalin sejak empat tahun lalu sambil menyatakan sedia meneruskannya pada PRN, namun bergantung kepada keputusan pimpinan PN.

Beliau berkata keadaan itu disebabkan beberapa pendekatan dasar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor seperti inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan skim pendidikan yang dilihat memenuhi cita rasa rakyat.

Pendapat Lau bahawa penentu kerjasama GRS-PAS pada PRN bergantung kepada situasi politik di peringkat nasional turut disokong Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah.

Lee berkata walaupun PAS Sabah selesa dengan kepimpinan Hajiji dan bersedia meneruskannya namun keputusan akhir terletak pada pimpinan pusat PN serta PAS.

“Semua sedia maklum PAS dan PN menjadi pembangkang di peringkat persekutuan, jadi kerjasama itu pastinya sukar,” katanya.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan, diikuti PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top