TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Tawau menahan seorang pengarah sebuah jabatan disyaki menyalahgunakan kedudukannya ketika berkhidmat di sebuah kolej awam di daerah berkenaan.
Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan kira-kira jam 9 pagi, kelmarin.
Suspek lelaki berumur 54 tahun itu dipercayai menggunakan jawatannya sebagai pengarah ketika bertugas di sebuah kolej awam di Sabah antara tahun 2017 hingga 2018, meluluskan tiket kapal terbang untuk isteri dan anaknya bernilai kira-kira RM6,000 yang sepatutnya kedua mereka tidak layak bagi kemudahan itu.
Difahamkan suspek menggunakan tiket kapal terbang itu bersama isteri dan anaknya ke Kuala Lumpur atas urusan kerja beberapa kali sedangkan kelayakan suspek hanya setahun sekali sahaja.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy mengesahkan tangkapan terbabit.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dilepaskan dengan bon jaminan SPRM dengan seorang penjamin.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Tawau pada 24 Februari depan.