Pengangguran Di Sabah: Masalah Yang Perlu Penyelesaian Segera

pengangguran.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Pusat Latihan Kemahiran, Sistem Latihan Dual Nasional Sabah dan Labuan (PLK-SLDN) Nelson Mosinoh berkata, kerajaan perlu mencari penyelesaian segera bagi mengatasi masalah pengangguran di negeri itu.

Katanya, Sabah tidak boleh menunggu tempoh dua tahun lagi atau sehingga adanya pelaburan langsung asing (FDI) dan syarikat besar melabur bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Beliau berkata, sikap menunggu akan memberi kesan buruk kepada psikologi dan sosiologi ribuan rakyat di Sabah yang terjejas teruk dari segi kewangan.

”Banyak yang telah diperkatakan mengenai ‘re-skilling’ dan ‘up-skilling’ untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi susulan pandemik Covid-19.

”Jutaan ringgit juga telah dibelanjakan oleh kerajaan sama ada menerusi Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), HRDF (Tabung Pembangunan Sumber Manusia) dan Sedia (Sabah Economic Development and Investment Authority) untuk memberi kemahiran diperlukan kepada golongan sasaran.

“Namun objektif sebenar dana yang dikeluarkan adalah bagi memastikan setiap peserta mendapat pekerjaan.

”Kekurangan peluang pekerjaan hari ini sangat jelas apabila ribuan perniagaan terpaksa ‘gulung tikar’ dan lebih buruk lagi, industri perkilangan di Sabah sangat kecil untuk membantu mengatasi masalah pengangguran berbanding negeri seperti Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya kepada FMT.

Nelson Mosinoh

Mosinoh berkata, menurut statistik bagi April yang dikeluarkan oleh portal Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) Perkeso, terdapat 14,202 jawatan kosong di Sarawak berbanding Sabah 2,370 kekosongan dengan 50% daripadanya di sektor pertanian atau perladangan.

Selain itu katanya, statistik di negeri yang lebih kecil, iaitu Negeri Sembilan juga jauh berbeza dengan 5,063 kekosongan jawatan.

“Justeru di samping memberi fokus kepada ‘re-skilling’ dan ‘up-skilling’ bagi mengekalkan pekerjaan, kerajaan perlu menimbangkan peruntukan bagi melatih pekerja yang diberhentikan kerja serta golongan belia yang belum mempunyai pekerjaan supaya mereka boleh bekerja sendiri.

”Memberi mereka kemahiran baharu sudah pasti akan turut memberi harapan baharu kepada mereka untuk terus ‘survive’,” katanya.

Katanya, apa yang diperlukan kini hanyalah menunjukkan jalan kepada para belia bagaimana untuk berniaga dengan kreativiti masing-masing.

”Kerajaan tidak boleh membataskan sumbernya hanya untuk satu objektif, sebaliknya perlu menjadikan ia lebih fleksibel agar rakyat dapat memanfaatkannya.

”Pakar dari seluruh dunia meramalkan industri pelancongan hanya akan kembali normal pada penghujung 2022, justeru tidak banyak yang dapat dilakukan oleh industri pelancongan di negara kita.

”Mungkin kementerian berkenaan dapat menimbangkan peruntukan pemasaran tahunannya bagi melatih pekerja industri pelancongan yang terkesan.

”Sebagai tambahan, menteri belia dan sukan Sabah juga boleh melihat kepada latihan kemahiran silang kerana saya yakin dengan panduan dan latihan yang betul, peserta mampu menjalankan perniagaan sendiri seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu pada masa akan datang,” katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top