PETALING JAYA: Warganet dan pengamal perubatan mengkritik beberapa Ahli Parlimen pembangkang kerana mendesak Kementerian Kesihatan meluluskan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19.
Pengguna Twitter, Dr Khairul Hafidz mengongsikan rasa kecewanya dalam beberapa hantaran di platform media sosial itu, terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendesak penggunaan dadah antiparasit itu secara ‘off-label’ untuk merawat Covid-19.
“Kami dalam industri perubatan ini telah menjelaskan isu itu di media sosial, namun semua usaha kami sia-sia dengan pemimpin PH menyokong penggunaan ubat itu di Parlimen. Tunggu data rasmi kita!” katanya.
Semalam, penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 menjadi topik perbahasan hangat di Dewan Rakyat dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya ia digunakan segera.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba tegas dengan pendiriannya untuk menunggu data rasmi.
Ahli Parlimen dari PKR dan Amanah mendakwa India serta Filipina telah berjaya menggunakan Ivermectin untuk merawat Covid-19 tanpa melaporkan kesan sampingan.
Bagaimanapun, mereka tidak pula menyebut bahawa pihak berkuasa di kedua-dua negara tidak mengumumkan perkara itu secara terbuka.
Ahli Parlimen yang mendesak penggunaan Ivermectin adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu (Kota Raja), Khalid Samad (Shah Alam), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Johari Abdul (Sungai Petani), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), William Leong (Selayang) dan P Prabkaran (Batu).
Sementara itu, Azrul Khalib, Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy berkata di Twitter, beliau menganggap “membimbangkan” apabila ramai Ahli Parlimen pembangkang percaya Ivermectin adalah “ubat ajaib” yang dapat mengubati Covid-19.
Beliau menggesa Adham dan kementeriannya tetap tegas meneruskan dasar serta garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada.
Sementara itu, bekas perunding farmasi @BeeLengMY1 menganggap pelik apabila Ahli Parlimen PH itu mahu menggunakan ubat itu secara ‘off-label’.
“Adakah mereka doktor?” soalnya, sambil menggesa bekas menteri kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Pakatan Harapan supaya mengekang perbincangan seumpama itu oleh Ahli Parlimen pembangkang yang bukan pakar perubatan.
Baru-baru ini, Persatuan Hospital Swasta Malaysia berkata pihak mereka tidak menggunakan Ivermectin.
Presidennya Dr Kuljit Singh berkata, hospital swasta merawat pesakit Covid-19 sejak Januari lalu dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan serta badan antarabangsa yang berasaskan bukti. – FMT