Penerima ‘Order of Australia Medal’ Dedahkan Sebab Berhijrah Ke Australia

Abdul-Rahman-Hashim-bernama-.jpg
Kongsi Bersama

Dua momen amalan pilih kasih oleh pihak berkuasa Malaysia meyakinkan Hashim Abdul Rahman (gambar) untuk berhijrah ke Australia setengah abad yang lalu.

Beliau tidak pernah kembali, kecuali sesekali untuk melawat, sebaliknya menjadi terkenal di Australia dan dikenali sebagai “Uncle Hashim”.

Minggu lalu, beliau menerima antara penghormatan tertinggi Australia, iaitu “Order of Australia Medal”, atas jasanya kepada masyarakat Islam dan menguruskan pensijilan halal.

Kata Hashim, hatinya tidak pernah meninggalkan Malaysia, walaupun sebagai penjawat awam Australia, beliau terpaksa melepaskan kewarganegaraan Malaysia, dan juga untuk lebih berjaya mewakili rakyat Malaysia di Australia.

Mengimbas kembali mengapa beliau tidak pernah kembali, Hashim berkata, tanggungjawab keluarga dan sikap pilih kasih yang dihadapinya menjadikan pilihan itu lebih jelas.

“Saya keberatan untuk bercakap tentang hal ini, tetapi orang ramai perlu tahu bahawa perkara seperti ini terus berlaku,” katanya yang kini berusia 79 tahun kepada FMT dari rumahnya di Canberra.

Kejadian pilih kasih pertama yan g dihadapinya di Malaysia berlaku pada tahun 1960-an.

Sebagai guru di SM Sultan Abdul Halim di Kedah pada 1966, beliau dipilih daripada hampir 2,000 calon untuk menyertai program perintis yang kemudiannya menjadi TV Pendidikan.

Beliau merekodkan 20 pelajaran biologi untuk disiarkan kepada pelajar.

“Perjanjian tidak bertulisnya adalah untuk saya dan seorang gadis yang bekerjasama dengan saya pergi ke Kanada selama beberapa tahun untuk latihan, dan kemudian kami akan kembali dan mengendalikan program itu sendiri.

“Kami menunggu, dan menunggu, tetapi tidak mendengar apa-apa khabar daripada kementerian.

“Akhirnya, setelah dua tahun, kami mendapat khabar bahawa orang lain telah dihantar ke Kanada, menantu salah seorang daripada pegawai tinggi di Kementerian Penerangan,” kata Hashim.

Kemudian pada 1972, ketika Hashim sudah bekerja di Canberra, kerajaan menawarkan kepada bapanya RM14,000 untuk megambil alih tanah milik keluarga mereka untuk membina jambatan menyeberangi sungai di belakang rumah mereka.

“Di seberang sungai ada sebidang tanah lain, tetapi tanah itu kosong. Kami kemudian mendapat tahu bahawa pemilik plot itu adalah seorang Ahli Parlimen, dan mereka ditawarkan RM70,000.

“Pengalaman ini benar-benar mengecewakan saya dan keluarga, sekali gus menetapkan keputusan mengenai di mana saya mahu tinggal,” katanya.

Hashim tiba di Australia pada 1969 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer.

 

Oleh sebab komputer belum digunakan secara umum di Malaysia, beliau menubuhkan beberapa pertubuhan dan persatuan untuk umat Islam, rakyat Malaysia dan pelajar, dan membantu melobi untuk mendapatkan pensijilan dan penyembelihan halal di Australia serta plot pengebumian patuh syariah di tanah perkuburan.

Beliau kemudian menghabiskan 26 tahun dengan perkhidmatan awam Australia, dan dihantar untuk tugas diplomatik kanan di Indonesia dan Filipina sebelum bersara pada tahun 1998.

Sejak itu, Hashim melakukan khidmat masyarakat, membantu pengebumian Muslim, mengajar Al-Quran dan membantu menjaga orang tua.

Projek terbarunya ialah “Australian Muslim Aged and Respite Care”, sebuah platform untuk masyarakat Islam di Canberra yang menyediakan persekitaran selesa dan rawatan perubatan penuh kepada warga emas.

Di sebalik segala yang terjadi kepadanya, dan komuniti yang dibina untuk dirinya di Australia, Hashim berkata, beliau merancang perjalanan seterusnya ke Malaysia.

“Saya akan pulang sebentar setelah wabak (Covid-19) ini berakhir, ramai orang yang perlu saya jumpa.”

Katanya, lima adik beradiknya dan keluarga mereka, yang tinggal di Kedah dan Kuala Lumpur, juga sama terkejut dengannya ketika mendapat berita mengenai anugerah yang diterimanya.

“Jujurnya, saya tidak fikir mereka benar-benar tahu maksud atau kepentingannya,” katanya,berjenaka.

“Beberapa orang bertanya kepada saya, ‘adakah ia sama dengan pangkat Datuk’?’”


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top