Penerbangan ehsan bukti kerjasama erat PDRM, media Sabah

penerbangan-ehsan.jpg

Penerbangan yang membawa jenazah wartawan Bernama Nur Adika Bujang dari Sandakan tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU), Tanjung Aru pada pukul 11.10 pagi. (Foto: Noorazlina)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan penerbangan ehsan bagi membawa pulang jenazah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur Adika Bujang dari Sandakan ke Kota Kinabalu, pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata penerbangan ehsan itu adalah bukti kerjasama antara PDRM dan pihak media, khususnya Allahyarhamah yang banyak membantu dalam membuat laporan berita berkaitan PDRM di negeri ini.

“Dalam keadaan seperti ini, kita saling bantu membantu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli mengucapkan terima kasih kepada Jauteh, Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, dan PDRM amnya kerana membantu melancarkan pengurusan jenazah Allahyarhamah dengan melakukan penerbangan ehsan berkenaan.

“Pihak PDRM dan media khususnya Bernama di Sabah mempunyai kerjasama erat dalam pelbagai perkara terutama dalam menyiarkan berita tentang pencegahan jenayah. Hari ini, kerjasama erat itu dibuktikan lagi dengan penerbangan ehsan daripada PDRM membantu keluarga rakan kami,” katanya.

Terdahulu, pesawat Cessna Caravan CE208 yang membawa jenazah Allahyarhamah mendarat di Pangkalan PGU Sabah di Tanjung Aru di sini pada pukul 11.10 pagi.

Penerbangan ehsan itu diketuai oleh kapten pesawat ASP Chan Chee Veng, dibantu juruterbang Insp Low Xi Hu.

Jenazah Allahyarhamah Nur Adika selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Belud Sadok, Kinarut di sini pada pukul 2.41 petang semalam.

Pada Ahad, Nur Adika ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat dua di kediamannya di Taman Perumahan IJM, Batu 6, Sandakan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

Nur Adika telah berkhidmat dengan Bernama sebagai wartawan hampir 20 tahun sejak 31 Okt 2005 dan pada 1 Jan 2019 beliau dilantik sebagai Pewarta Sandakan.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top