Penemuan Pukat Hanyut Di Taman Pulau Sipadan: Tindakan Tegas Perlu Diambil – Jafry

pukat-hanyut.jpg

Pukat hanyut sepanjang 900 meter ditemukan di kawasan selaman di Taman Pulau Sipadan oleh penyelam - Foto ihsan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kecewa dengan laporan berkaitan penemuan pukat hanyut sepanjang 900 meter di kawasan selaman di Taman Pulau Sipadan, dekat sini, kelmarin.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata pihaknya menyifatkan penemuan pukat hanyut itu sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan tindakan tegas harus diambil terhadap pelaku serta pihak lain yang terbabit.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau berkata, berdasarkan laporan awal, renjer taman bersama pasukan Dive Marshal yang sedang membersihkan pantai menemukan pelampung pukat hanyut di tapak selaman Barracuda Point hingga ke Hanging Garden.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati serawan (seunit) pukat hanyut sepanjang 900 meter tersangkut di kawasan selaman terbabit.

“Kerja-kerja mengalih pukat hanyut dijalankan bersama beberapa penyelam daripada operator pelancongan penyelaman Seahorse Scuba Sdn Bhd, Dive Semporna dan Borneo Juggle.

“Semasa operasi mengalihkan pukat terdapat 18 ikan berbagai jenis seperti ikan kumai, ikan ogos (ikan bayan) dan dua yu tersangkut, serta sebahagian kecil terumbu karang mengalami kerosakan.

“Pada jam lebih kurang 9.40 pagi, sebuah bot kayu (jongkong) memasuki kawasan Taman Pulau Sipadan tanpa permit sah dan pemilik bot tersebut ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, siasatan awal mendapati pemilik bot yang ditahan mengaku pukat terbabit milik mereka dan ia hanyut dibawa arus ke kawasan Taman Pulau Sipadan.

“Kerja mengalih pukat hanya dapat dilakukan sepanjang Barracuda Point sehingga hujung North Point dan masih lagi berbaki lebih kurang 200 meter menjelang waktu malam.

“Kerja terbabit disambung pagi tadi membabitkan 25 penyelam dari beberapa operator berdaftar dengan Taman-Taman Sabah sehingga selesai mengalih pukat terbabit.

“Jika disebabkan kecuaian, tindakan sewajarnya patut diambil sebagai iktibar semua pihak supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top