Penduduk Terjejas Banjir di Kg Sugud Terima Bantuan Tong Gas & Dapur Memasak

shahelmey.jpeg
Kongsi Bersama

PENAMPANG : Sebanyak 130 tong gas dan dapur memasak diagihkan kepada penduduk terjejas akibat banjir di Kampung Sugud di sini petang semalam.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya berkata, agihan bantuan peralatan memasak itu diserahkan susulan lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor petang kelmarin ke kampung berkenaan.

“Berikutan lawatan YAB Ketua Menteri, kita menyenaraikan beberapa keperluan yang mendesak untuk diberikan kepada penduduk yang terlibat dengan banjir.

“Peralatan memasak adalah antara senarai keperluan penduduk yang perlu disegerakan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) telah berusaha mendapatkan bekalan tong gas dan ‘stove’ tempat memasak bagi membolehkan penduduk terjejas memasak di kediaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kampung Sugud petang semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Penampang; Francis Chong Yi Shing dan Timbalan Pengarah JPKA Sabah, Natelie Gaban.

Shahelmey berkata, pihaknya berharap agar agihan bantuan tong gas dan dapur memasak itu akan dapat meringankan beban yang ditanggung penduduk terjejas banjir.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan bantuan sewajarnya kepada semua mangsa yang terjejas teruk di daerah ini.

“Saya difahamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad telah melawat kampung ini sebentar tadi dan Pegawai Daerah telah memaklumkan keperluan mendesak untuk tujuan pembersihan,” katanya. – Sabah Media


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top