Seramai 108 penduduk asal Tamparuli telah membuat bantahan terhadap pelan persempadan baharu oleh Majlis Daerah Tuaran yang disifatkan mengelirukan dan dijangka akan menurunkan taraf Tamparuli sebagai daerah kecil.
Bantahan itu diketuai mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Jefrey Teo setelah Pelan Tempatan Dalit dan Pelan Tempatan Sulaman diperkenalkan bagi menggantikan pelan-pelan persempadanan Tamparuli yang sedia ada.
Menurut Jefrey, pelan baharu yang dikeluarkan MDT melalui Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sabah mengakibatkan pelan sedia ada seperti Pelan Tamparuli Skim, Pelan Tuaran dan beberapa yang lain tidak lagi akan terpakai selepas ini.
“Yang menghairankan pelan yang dinamakan sebagai Pelan Tempatan Dalit dan Pelan Tempatan Sulaman pula akan digunapakai.
“Ini sesuatu yang tidak betul dan sangat mengelirukan. Kenapa pula Pelan Persempadanan Tamparuli ditiadakan dan diganti pula dengan nama pelan yang tidak berkaitan dengan nama kawasan ini.
“Kita membantah sekeras-kerasnya. Kerana perlu diingat kawasan Dewan Undangan Tamparuli (DUN) Tamparuli, DUN Sulaman dan DUN Dalit adalah tiga kawasan yang berbeza. Kawasan persempadanan Tamparuli sepatutnya tidak dimasukkan ke kawasan Dalit dan Sulaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini semalam.
Terdahulu, Jefrey telah menghantar surat bantahan penduduk Tamparuli ke pejabat Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah pada penghujung tahun 2021.
Tambah Jefrey, Tamparuli telah mempunyai sejarahnya tersendiri sejak zaman British lagi dan kini mempunyai Pejabat Daerah Kecil.
“Dalam sedikit masa lagi dijangka kawasan ini akan menjadi sebuah daerah penuh serta mempunyai majlis daerah sendiri dengan peningkatan jumlah penduduk pada setiap tahun.
“Justeru, adalah tidak munasabah kawasan persempadanan Tamparuli dimasukkan ke dalam kawasan persempadanan Dalit dan Sulaman, kerana ia bukan sahaja mengelirukan rakyat malah mengetepikan hak, identiti dan sejarah Pekan dan Daerah kecil Tamparuli.
“Dan sebagai makluman, Tamparuli juga mempuyai tiga pekan utama iaitu Pekan Tamparuli, Pekan Tenghilan dan Pekan Topokon.
“Justeru, selaku mantan PPM bagi kawasan N.14, saya bersama penduduk asal Tamparuli mahu agar kawasan ini mempunyai pelan persempadanan sendiri, dan bukannya dimasukkan ke dalam Pelan Tempatan Sulaman dan Pelan Tempatan Dalit.
“Saya mohon ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim turut menyuarakan bantahan kerana tindakan sedemikian jika dibiarkan menyebabkan Tamparuli ‘dimakan’ oleh jirannya,” kata Jefrey.
Untuk rekod, Pelan Tempatan Dalit dan Pelan Tampatan Sulaman telah diwartakan oleh MDT pada 3 Jun 2021 dan dipamerkan oleh MDT selama 30 hari untuk semakan dan bantahan orang awam sehingga 3 Januari 2022.
Sekiranya diluluskan, pelan itu akan digunapakai kerajaan sebagai instrumen kawalan pembangunan utama kawasan Tamparuli. – Berita Sabah