KUALA LUMPUR: Beberapa penduduk perkampungan dalam daerah Sabah menerusi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (Pakin) merayu agar pihak istana membantu mereka menyelesaikan isu pemilikan tanah adat.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mereka ingin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar memberikan saranan kepada agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu permasalahan tanah yang berlaku di Kampung Montoki, Ranau; Kampung Minusoh, Tongod; Kampung Mt Pock, Semporna; Sepulut, Nabawan; Madai Baturung, Kunak.
“Isu ini melibatkan sebahagian rakyat Sabah yang mana penduduk asal yang telah duduk ratusan tahun dihalau dari rumah mereka sendiri.
“Sekiranya masuk di kawasan tanah mereka dan kemudiannya ditahan reman sehingga digelar penceroboh di tanah adat mereka sendiri yang mana mereka juga penduduk asal, di mana mereka nak pergi?” Soalnya ketika sidang akhbar di hadapan Istana Negara hari ini.
Terdahulu, mereka menyerahkan memorandum kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan ulasan dan pendapat mengenai saranan kepada agensi yang berkaitan menyelesaikan isu tanah melibatkan beberapa daerah di Sabah.
Memorandum diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Akhbar Istana Negara, Mohd. Husni Yusof oleh tiga wail iaitu Hishamuddin; Penyelaras MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh dan wakil penduduk dari Semporna, Yusrie Yusup.
Jelas Hishamuddin, masalah tersebut timbul selepas penduduk asal membuat permohonan geran tanah tetapi permohonan mereka tidak dibatalkan sebaliknya diberikan kepada syarikat luar.
Menurutnya, mereka telah membuat aduan di peringkat daerah sehinggalah kerajaan negeri dan kepada Perdana Menteri namun tiada tindakan yang diambil untuk mendapatkan penyelesaian isu tanah adat mereka.
Baca seterusnya di: Utusan Malaysia