KUNAK: Lebih 100 penduduk asal Skim Peneroka Madai Baturong, dekat sini, merayu agar tanah diduduki sejak 25 tahun lalu diberikan kepada mereka selaku peneroka terawal kawasan terbabit.
Penduduk memaklumkan Permohonan Tanah (PT) sudah dibuat beberapa kali namun sudah dibatalkan pada penghujung tahun lalu.
Difahamkan, pembatalan PT berkenaan juga dibuat tanpa memberi sebarang alasan munasabah kepada penduduk.
Ditemui ketika pertemuan antara penduduk dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah di Balai Raya Kampung Hulu Madai, hari ini, Norwana Mellong, 56, meminta pihak berkaitan menarik semula pembatalan PT Skim Peneroka Madai Baturong dan memberikannya kepada penduduk yang sepatutnya.
Norwana menyatakan dia dan suami bekerja keras membuka serta membersihkan kawasan skim berkenaan yang asalnya adalah hutan sebelum dijadikan lokasi bercucuk tanam.
“Proses meneroka juga bukan mudah, perlu membersihkan hutan malahan kita juga bimbang dengan keselamatan dirikerana hutan pastinya ada hidupan liar yang berbahaya.
“Tetapi kami teruskan saja membangunkan tanah di kawasan itu sehingga mampu menanam pokok kelapa sawit.
“Melihat kepada perjuangan penduduk, kita pastinya sedih dengan tindakan pihak berwajib kerana membatalkan Permohonan Tanah (PT) kami selepas lebih 20 tahun mengusahakan tanah berkenaan.
“Malahan saya sendiri sudah menghantar permohonan pertama pada tahun 1998 selain menghantar semula PT baharu bagi 2016 sebelum dimaklumkan permohonan sama gagal pada penghujung tahun lalu,” katanya mula meneroka kawasan Skim Peneroka Madai Baturong pada tahun 1998.
Seorang lagi peneroka, Goefle Joseph, 36,berkata, dirinya antara penduduk yang kecewa dengan tindakan Jabatan Tanah yang melakukan pembatalan tanpa pemakluman kepada penduduk.
Goefle menyatakan dia adalah generasi kedua mengusahakan tanah di kawasan berkenaan selepas bapanya selaku peneroka terawal membuka kawasan terbabit dengan keluasan kira-kira empathektar yang diusahakan sejak tahun 1997.
“Saya sendiri menjadi saksi bapa meneroka tanah ini kerana ketika itu saya berumur 13tahun dan turut sama membantu membersihkan kawasan berkenaan untuk bercucuk tanam.
“Sebagai anak atau individu yang turut sama membantu membuka kawasan itu, saya pastinya mahu terus mempertahankan hak kami selain hanya tanah inilah sumber pendapat kami sekeluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh menyatakan pihaknya hadir bagi mewakili penduduk untuk bertemu dengan pihak Penolong Pemugut Hasil Tanah (PPHT) Kunak.
“Hari ini kita sudah menghantar satu surat untuk meminta penjelasan secara bertulis dari Pejabat Tanah PPHT Kunak untuk mengetahui punca permohonan peneroka-peneroka di Skim Peneroka Madai Baturong dibatalkan.
“Selain itu, kita meminta agar satu temu jani diaturkan bersama MHO dan peguam bersama wakil penduduk agar dapat membuat perbincangan dengan Jabatan Tanah Kunak dalam usaha mencari jalan penyelesaian.
“Kita harap perkara ini mampu diselesaikan di sini dan tidak perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Penolong Juruukur PPHT Kunak, Smith Lewas mengesahkan sudah menerima surat daripada pihak MHO.
“Hasil daripada kajian itu nanti kami akan hantar ke ibu pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU),” katanya.-HMetro