RANAU: Sesebuah majlis atau acara keramaian sukar dijayakan dengan lancar jika ada dalam kalangan masyarakat setempat yang terbawa-bawa dengan dendam akibat percanggahan politik.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata untuk memastikan kelancaran sesebuah majlis keramaian semua penduduk di daerah ini perlu bekerjasama, di samping meneruskan sikap toleransi dalam kehidupan seharian.
Katanya, ketika ini masih ada lagi segelintir pihak yang mempunyai perasaan dendam akibat percanggahan fahaman politik.
“Jika masih lagi timbul rasa kebencian akibat kecewa dengan kekalahan parti politik pilihan kita, sudah pasti sukar mencapai kata sepakat dalam melaksanakan sesuatu majlis.
“Setiap komuniti kampung perlu mempunyai sikap kerjasama, toleransi dan perpaduan yang melangkaui batas keegoan serta kepentingan peribadi,” katanya.
Menurutnya, sikap negatif seumpama itu akan hanya memecah-belahkan komuniti kampung dan mengakibatkan majlis yang diadakan kurang mendapat sambutan.
Sebagai wakil rakyat, Jonathan berkata, beliau sentiasa membantu masyarakat di daerah ini tanpa mengira latar belakang politik mereka.
“Bantuan diberikan tanpa pilih kasih dan saya akan pastikan ia diteruskan oleh pemimpin yang akan menjadi Ahli Parlimen Ranau pada masa akan datang,” katanya.
Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Tadau Kaamatan peringkat Kampung Rumantai, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Jonathan berkata, rakyat Sabah perlu bersatu hati menolak fahaman atau parti politik yang cuba memecah belahkan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri akan datang.
“Kita perlu tunjukkan bahawa rakyat Sabah bersatu supaya sukar pihak luar mengganggu sistem pentadbiran di negeri ini.
“Justeru, saya berharap dengan semangat Kaamatan ini dapat menyatupadukan rakyat Sabah dan berjaya memperjuangkan hak-hak Sabah,” katanya.
Berita asal: Utusan Borneo