Penduduk Pantai Timur Sabah Harus Nikmati Kemudahan Kesihatan Lebih Baik – MP Tawau

christina-liew.jpg

Datuk Christina Liew. (Gambar fail)

Kongsi Bersama

TAWAU: Rakyat di pantai timur Sabah berhak menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik, kata anggota parlimen Tawau Datuk Christina Liew.

Beliau berkata penaiktarafan kemudahan penjagaan kesihatan sudah lama tertangguh selepas hampir enam dekad Sabah mencapai kemerdekaan dan pembangunan.

Liew menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa Hospital Tawau, Hospital Duchess of Kent di Sandakan, dan Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu akan menjadi Hospital Pakar Utama dengan bilangan perkhidmatan pakar meningkat kepada 49 di setiap hospital.

Pada masa ini, QEH menyediakan 44 perkhidmatan pakar manakala terdapat 18 di Hospital Duchess of Kent dan 15 di Hospital Tawau.

“Kita berharap kerajaan persekutuan serius komited untuk merealisasikan janji itu, dan rancangan itu tidak akan dilupakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 atau berakhir sebagai projek ‘sakit’,” kata Liew semalam.

Liew juga berharap projek seumpama itu dapat disiapkan dalam tempoh yang dijadualkan.

Mengikut pengalaman Tawau, beliau berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga projek pembangunan di daerah itu yang telah dimulakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), tetapi masih belum dapat dilaksanakan.

Liew berkata tiga projek itu ialah Empangan Tawau, kerja-kerja menaik taraf Hospital Tawau, dan Skim Tebatan Banjir Tawau.

“Kita memasuki Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), dan kami menantikan kerja-kerja menaik taraf Hospital Tawau siap pada penghujung tahun (seperti yang dijanjikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Kurup, baru-baru ini),” Liew menambah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top