Penduduk Labuan Gembira Dapat Melawat Sabah Semula

jeti-menumbok.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Setelah terpisah daripada kedua ibu bapa selama dua tahun, Alfred Nikko Sibil, 22, akhirnya dapat mendarat di Jeti Menumbok di Sabah semalam dengan ditemani dua adik perempuannya.

“Sukar bagi kami untuk percaya …kami juga tidak menyangka dapat pulang jua,” katanya kepada Bernama.

Alfred Nikko dan dua adiknya adalah rakyat Sabah yang bermastautin dan bekerja di Labuan dan sekian lama menunggu untuk pulang ke Sabah bagi bertemu kedua ibu bapa mereka di Kota Belud, namun, ekoran situasi pandemik COVID-19, mereka tidak dapat berbuat demikian.

Tiga beradik itu tidak dapat menaiki kapal terbang atau feri untuk ke tanah besar Sabah berikutan kawalan ketat sempadan.

Malah, ribuan penduduk Sabah terkandas di pulau bebas cukai ini sejak pandemik mula melanda dan susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.

Pada 8 Nov (Isnin), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah telah membenarkan rentas negeri kepada penduduk dan penduduk tetap Sabah di Labuan yang ingin pulang dan mengunjungi negeri itu, tanpa perlu menunjukkan keputusan negatif ujian esaringan COVID-19, namun hanya perlu melengkapkan dua dos vaksinasi.

Ini adalah pertama kali sejak bermulanya pandemik tersebut rakyat Sabah dibenarkan untuk meninggalkan pulau bebas cukai ini tanpa perlu mendapatkan kelulusan pengecualian daripada kerajaan (menjalani ujian COVID-19 dan menjalani kuarantin), berkuat kuasa 1 Nov lepas.

Tinjauan Bernama di terminal Jeti Menumbok mendapati ahli keluarga bertemu semula dengan diiringi tangisan kegembiraan.

Antaranya, sebuah keluarga yang ditemui Roslan Rasman, 49 dan Dayang Surayah Alil, 45, memeluk erat anak gadis mereka berusia 22 tahun selepas 19 bulan tidak berjumpa.

“Ia umpama mimpi, sukar bagi kami untuk pulang sebelum ini,” kata Roslan manakala Dayang bergurau mahu menyembunyikan pasport anaknya bagi menghalang dia pulang pergi.

Mulai 1 Nov, perkhidmatan feri roll on-roll off (RORO) dari Labuan ke tanah besar Sabah beroperasi semula seperti biasa mengikut jadual.

Pengarah Jabatan Marin Labuan Alimuddin Amirudin berkata perkhidmatan feri kembali beroperasi seperti biasa selaras dengan langkah kerajaan Sabah menarik balik larangan rentas negeri.

Terdapat lapan perjalanan pergi-balik Labuan-Menumbok yang diluluskan kepada dua pengendali feri, dengan masing-masing mengendalikan empat feri.

— BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top