Penduduk Kg.Timbua Mahu Jalan Raya Dinaiktaraf

Jalan-Kg-Timbua.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hari pertama persekolahan Penggal Ketiga bagi pelajar bandar amat menggembirakan namun bagi pelajar dan guru-guru di luar bandar terutamanya di Ranau, ia amat mencabar disebabkan mereka terpaksa melalui jalan raya yang rosak dan berlumpur.

Beberapa gambar dimuatnaik di Facebook Berita Harian Ranau pada 10 Januari menunjukkan pelajar sekolah SMK Timbua Ranau terpaksa turun dari bas sekolah kerana bas yang mereka naiki tidak dapat naik akibat jalan licin.

Sehubungan itu, penduduk kampung dan semua pengguna Jalan Tinutuan ke Kg.Timbua merayu kepada kerajaan supaya mempercepatkan penaiktarafan jalan raya berkenaan.

Menurut seorang penduduk Kampung Timbua, jalan raya berkenaan adalah laluan utama hampir keseluruhan penduduk Mukim Timbua ke Pekan Ranau. Mukim Timbua mempunyai 24 buah kampung dengan anggaran penduduk lebih 5,000 orang.

“Jalan ini juga adalah laluan utama guru-guru yang mengajar di SMK Timbua dan SMK Ulu Sugut (Malinsau) Ranau.

“Oleh itu kami amat berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang Datuk Dr.Joachim Gunsalam dapat membantu kami menaiktaraf jalan raya ini,” katanya kepada Nabalu News, pada Selasa.

Wakil penduduk kampung itu berkata, mereka telah banyak kali mengemukakan permohonan supaya jalan berkenaan dinaiktaraf namun sehingga kini tidak ada tindakan pihak berwajib.

Katanya lagi, selain laluan utama pelajar sekolah dan guru-guru serta kakitangan klinik kesihatan di kawasan itu, jalan raya berkenaan juga adalah laluan utama penduduk kampung untuk memasarkan hasil pertanian mereka di Pekan Ranau.

“Keadaan jalan raya bertambah teruk terutamanya pada musim hujan. Kami tidak mahu jalan berkenaan sekadar ditabur batu tetapi mahu ia dinaik taraf kepada jalan aspal,” katanya. – Nabalu News


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top