Penduduk Kg Balat Kini Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam

Bung-1.jpg
Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Penantian 400 penduduk Kampung Balat untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam kini direalisasikan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Stesen Janakuasa Balat yang mula beroperasi pada 1 Ogos, 2021 yang lalu telah memberikan kegembiraan kepada lebih 400 orang penduduk di kampung itu apabila menerima kemudahan bekalan elektrik 24 jam.

“Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) itu sekaligus menamatkan penantian penduduk kampung berkenaan yang terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa elektrik atau pelita sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan sumbangan Ceria Ke Sekolah TNB/SESB Peringkat Kinabatangan Parlimen P.187 Kinabatangan, sumbangan Program Sekolah Angkat SESB dan perasmian Stesen Janakuasa Balat di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan semalam.

Bung Moktar menegaskan usaha SESB untuk sama-sama membantu dan memberikan bekalan elektrik ke kampung ini menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berharap, lebih banyak perkampungan di luar bandar yang masih belum menikmati bekalan elektrik dapat diberikan bekalan mengikut kepada peraturan-peraturan sedia ada.

“Sementara itu, saya juga berharap agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar dapat melaksanakan projek-projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang telah dirancang. Difahamkan sebanyak RM120.5 juta peruntukan telah diberikan bagi melaksanakan projek BELB sambungan talian grid bagi tiga zon di Sabah.

Bung Moktar percaya inisiatif ini akan membantu menaik taraf kehidupan rakyat di luar bandar di mana kawasan-kawasan kampung yang dahulunya gelap akan bercahaya dan penduduk kampung dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa perlu menggunakan genset.

“Usaha ini juga akan menyaksikan pembangunan sosio-ekonomi di kampung-kampung terlibat terus berkembang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga memberitahu bekalan elektrik ini akan disalurkan ke beberapa buah kampung lain berdasarkan kapasiti yang tinggi iaitu 700 megawatt.

Beliau berkata, penduduk di Kampung Pinangah juga telah menikmati bekalan elektrik 24 jam bulan lepas dan beberapa buah kampung berhampiran akan dipastikan menikmati kemudahan yang sama dalam sedikit masa lagi


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top