Penduduk Kg Balat Gembira Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam

elektrik-kg-Balat.jpg
Kongsi Bersama

Oleh : Jaafar Abd Wahid

KINABATANGAN : Dianggarkan lebih 400 orang   penduduk di Kampung Balat  Kinabatangan kini berkongsi kegembiraan apabila kemudahan bekalan elektrik 24 jam di kampung itu mula beroperasi sepenuhnya,

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB)  itu sekali gus menamatkan penantian penduduk kampung berkenaan yang terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa elektrik atau pelita sebelum ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan  Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, projek yang mula dilaksanakan pada tahun 2013 melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional itu menghadapi pelbagai kekakangan sebelum  dapat disiapkan sepenuhnya, antaranya adalah  masalah penyusuanan semula kampung  dan pendawaian.

Bung bersama PPM Lamag Abu Bakar semasa melawat kampung Balat Kinabatangan baru baru ini.

“Alhamdulillah hari ini penantian bertahun penduduk di kampung ini untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam akhirnya menjadi realiti di mana ia bukan sahaja memberikan kemudahan yang selesa kepada penduduk tetapi mampu memanfaatkannya untuk  menjana sumber pendapatan   melalui  pelbagai aktiviti perniagaan yang mereka usahakan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu Pemimpin Pembangunan Masyarakat Lamag  Abu Bakar Gapar berkata sekitar 76  buah rumah mendapat kemudahan bekalan elektrik 24 jam iaitu 33 rumah di penempatan program Masej dan selebihnya 43 buah rumah di perkampungan yang disusun semula di kawasan tersebut.

Salah seorang penduduk, Masnah Aloi  dari kampung Balat  berkata usaha kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk berhubung kemudahan itu amat dihargai.

“Terima kasih kepada kerajaan khususnya Datuk Seri Bung Moktar kerana kini  kami sudah menikmati bekalan elektrik 24 jam selepas sekian lama menunggu kemudahan asas ini, ”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Balat, Sharin Abdul Rauf  berkata ketiadaan kemudahan elektrik sebelum ini memberi kesusahan kepada mereka yang tidak berkemampuan membeli generator.

“Mereka yang tidak mampu membeli generator kerana harganya yang mahal hanya bergantung kepada pelita untuk menerangi rumah masing-masing pada waktu malam.

“Maka dengan adanya kemudahan elektrik 24 jam yang kini disalur ke kampung kami, memberi nafas baharu kepada penduduk yang dahagakan kemudahan itu,” katanya.

Bagi Ketua Daerah Mengundi Balat, Jaafar Suar beliau gembira melihat rumah sudah ada bekalan elektrik yang sebelum ini bergantung dengan generator atau pelita sahaja

Menurutnya, dia bersyukur masalah pendawaian elektrik yang tertangguh sejak sekian lama dapat diselesaikan dengan komitmen serta kesungguhan Bung Moktar, yang juga Adun Lamag.

“Bekalan elektrik sangat membantu kami melakukan aktiviti harian dan lebih memudahkan  anak-anak saya belajar  mengulangkaji pada waktu malam, malah lebih seronok apabila ada kipas,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top