SANDAKAN: Penduduk Bandar Ramai-Ramai, Leila, Nam Tung, Tanah Merah sehingga Kampung Bokara kecewa akibat bekalan air yang terjejas.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, bekalan air di kawasan berkenaan sudah terjejas selama seminggu sekali gus menyebabkan penduduk yang merayakan sambutan ‘Dong Zhi’ dan Krismas kecewa.
“Notis pemberitahuan penghantaran lori tangki juga terlalu singat dan ramai penduduk di Bandar Ramai-Ramai dan Leila pada ketika itu tidak berada di rumah.
“Walaupun cuba mendapatkan jawapan daripada pihak berwajib sejak 23 Disember lalu, tetapi tiada jawapan konkrit diberikan,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, banyak premis perniagaan khususnya restoran tidak dapat beroperasi pada cuti Hari Krismas disebabkan ketiadaan bekalan air.
Katanya, masalah berkenaan yang berlaku pada perayaan ‘Dong Zhi’ pada 21 Disember lepas dan Krismas baru-baru ini bukan sahaja merumitkan kehidupan rakyat Sandakan, tetapi juga menjejaskan perniagaan.
“Penduduk Karamunting berhak mendapat jawapan daripada pihak berkaitan mengenai kejadian berkenaan.
“Saya memohon masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya. – Utusan Borneo