TENOM: Penduduk Kampung Pangi Tenom merayu agar pihak Kerajaan Negeri memberi pertimbangan bagi membenarkan penggunaan ‘Troli Haram’ berada di landasan kereta api untuk laluan utama mereka.
Berkongsi dalam laman Facebook Udin Bakiwoh yang mewakili penduduk kampung berkata, troli digunakan untuk membeli barangan keperluan harian sekali gus memudahkan mereka keluar pada waktu kecemasan.
“Tidak kira masa dalam apa keadaan cuaca sekalipun….bila ada penduduk yang sakit, ibu mengandung yang akan melahirkan anak pada waktu siang dan malam. Kami bersama pemuda kampung terpaksa keluar menggunakan troli haram ini untuk menghantar pesakit ke hospital…sebab tiada pilihan lain,” katanya.
Udin sekali lagi merayu kepada pihak kerajaan agar memberi sedikit kelonggaran untuk membolehkan troli haram ini beroperasi berikutan ketiadaan laluan jalan raya atau kereta api beroperasi pada ketika ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Pangi Tenom, Jhayley Junigoh berkata, beliau berkongsi dalam laman facebooknya memohon pembaca melihat serta menyelami sendiri kesusahan bagi memasarkan hasil tanaman mereka.
“Kamu tengok sendiri video ini, mungkin orang cakap di luar sana kami suka-suka pakai troli haram di landasan kereta api. Tapi ini sahaja pilihan yang ada….hasil tanaman pisang seberat satu tan perlu segera dijual ke pekan membolehkan kami terus hidup.
“Siapa yang sudi bantu kami…bangun seawal jam 5 pagi daripada rumah sehingga jam 9 pagi belum sampai ke pekan. Jika bukit tinggi, kami terpaksa berhenti dan menolak troli ini,” katanya secara ekseklusif kepada Sabah News Today.
Jhayley berkata, motosikal yang sudah diubahsuai mengangkut hasil tanaman terpaksa beberapa kali berhenti berikutan tidak berupaya melalui permukaan bukit yang tinggi menyebabkan perjalanan menjadi terlalu lama.
“Mohonlah mana-mana pemimpin bantu kami…laluan landasan kereta api merupakan satu-satunya penghubung ke pekan bagi memasarkan hasil tanaman orang kami…Musim Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penduduk kampung sangat tertekan,” katanya.–SabahNewsToday