Penduduk Kampung Luasong Sambut Aidilfitri Tanpa Elektrik

Andi-Muhammad-Suryady-Bandy.jpg

Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kira-kira 200 penduduk di daerah Tawau terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa bekalan elektrik.

Menurut The Star, penduduk Kampung Luasong – 74km dari bandar Tawau – terputus bekalan elektrik sejak awal bulan puasa selepas penjana diesel yang dipasang Yayasan Sabah rosak.

Mereka telah melalui hidup tanpa bekalan elektrik sepanjang tempoh itu, tetapi menyambut Hari Raya dalam keadaan yang sama merupakan sesuatu yang sukar.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (gambar) berharap langkah-langkah segera diambil untuk membaiki generator secepat mungkin.

“Ia merupakan satu-satunya sumber tenaga penduduk kampung sementara menunggu siapnya Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Luasong yang telah lama tertangguh,” katanya ketika melawat Kampung Luasong baru-baru ini.

“Penduduk yang saya temui mengadu masalah ini (kekurangan bekalan elektrik) yang berlaku sejak (Ramadhan) bermula. Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

“Saya difahamkan ia bukan kali pertama berlaku tahun ini.

“Mereka mengalami gangguan bekalan elektrik beberapa kali kerana generator rosak,” kata Andi, yang juga ADUN Tanjung Batu dan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri.

Beliau juga berharap projek BELB dipercepatkan supaya penduduk tidak lagi bergantung kepada generator yang kerap rosak.

Projek itu dikatakan 73% siap walaupun mengikut jadual, ia sepatutnya 94% siap pada masa ini.

Andi Muhammad berkata beliau diberitahu kelewatan itu berpunca daripada masalah bekalan kabel dan kekurangan pekerja.

“Saya berharap masalah yang dihadapi dapat ditangani secepat mungkin agar projek BELB dapat disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top