Penduduk Kampung Lok Baru ‘tawan’ buaya 200 kg

Buaya.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Penduduk Kampung Lok Baru, Pulau Gaya di sini, berjaya menangkap seekor buaya tembaha yang cuba menyerang seorang kanak-kanak di kampung itu.

Walau bagaimanapun mereka mengambil masa hampir satu jam bergelut dengan reptelia tersebut sebelum berjaya menawannya.

Buaya berukuran kira-kira 3.6 meter dengan anggaran berat kira-kira 200 kilogram itu akhirnya berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 petang Rabu sebelum diserahkan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu.

Sinar Harian memetik Pegawai Bencana Operasi APM Kota Kinabalu, Ezra Gandui Daniel sebagai berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan membawa buaya itu untuk diserah kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL).

Katanya lagi, proses memindahkan buaya dari Pulau Gaya ke Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru mengambil masa kira-kira satu jam.

“Buaya dengan anggaran berat 200kg itu dibawa menaiki bot untuk menyeberang ke Kota Kinabalu dan telah berjaya diserahkan kepada JHL sekitar jam 8 malam,” katanya.

Ezra dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap kawasan sekeliling sama ada di darat atau laut berhubung kehadiran haiwan berbahaya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top