Penduduk Kampung Di Pitas Minta Bantuan Kerajaan Atasi Masalah Pemilikan Tanah

Penduduk-Pitas.jpg

Penduduk Kampung Niatang, Pitas mengharapkan campur tangan kerajaan negeri selepas penyerahan memorandum di Menara Kinabalu pada Selasa.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih 100 penduduk Kampung Niatang di Pitas akan terpaksa berpindah dari tanah nenek moyang mereka selepas sebuah syarikat swasta didakwa menuntut pemilikan ke atas tanah tersebut

Pengerusi Jawatankuasa Kampung Niatang, Hollynah Mopuas berkata, penduduk kampung secara rasmi memohon tanah itu sejak 1997 tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Jabatan Tanah dan Ukur.

Hollynah berkata, penduduk kampung terkejut apabila dimaklumkan sebuah syarikat swasta telah memperoleh hak pemilikan tanah itu sejak Februari tahun ini. Penduduk kampung berasa bingung kerana mereka lebih awal memohon tanah itu.

Tambahnya, pembersihan tanah termasuk tanaman getah telah dimulakan sejak minggu lalu.
“Hampir separuh tanah telah musnah,” kata Hollynah.

Menurutnya, kampung itu berada dalam kawasan Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (Safoda) dan telah dikeluarkan daripada diwartakan bagi membolehkan penduduk kampung tinggal.

“Kami berhak memiliki tanah itu kerana kami adalah orang pertama yang memohon. Kami mempunyai semua dokumen lengkap. Kami juga dimaklumkan bahawa tanah itu tidak bertindih dengan mana-mana permohonan lain,” katanya.

Hollynah dan kira-kira 100 penduduk Kampung Niatang ditemui ketika menyerahkan memorandum kepada Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.

Beliau berkata kehadiran mereka bagi memohon campur tangan kerajaan bagi menegakkan keadilan dan membela nasib penduduk Kampung Niatang.

Hollynah berkata, nenek moyang mereka telah menetap dan mengusahakan tanah tersebut sebelum zaman penjajahan British dan amat menyedihkan apabila tanah itu kini jatuh ke tangan orang luar yang tidak tinggal di situ.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata pada masa ini, hanya 20 peratus daripada kawasan itu masih belum musnah.

Justeru beliau berharap kerja-kerja di tanah itu dapat ditangguhkan kerana ia akan menjejaskan penduduk di kawasan itu.

“Kami bersimpati dengan penduduk dari suku Rungus yang akan kehilangan tanah yang mereka duduki sejak zaman nenek moyang mereka. Mereka adalah penduduk asal yang meneroka dan membangunkan tanah itu.
“Kami juga telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan (Ketua Menteri), Datuk Fairuz Renddan berkata beliau akan memaklumkan kepada Ketua Menteri mengenai masalah yang dihadapi penduduk kampung berkenaan.

 

Berita asal: The Borneo Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top