KOTA KINABALU: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas usaha menaik taraf Jalan Utara kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kukusan-Parti Harapan Rakyat Sabah) Rina Jainal berkata, sejumlah RM200 juta peruntukan telah diperuntukan untuk menaik taraf Jalan Utara yang pastinya akan memberikan impak besar kepada lebih 10,000 pengguna setiap hari.
“Lebih separuh daripada laluan berkenaan sudah diratakan dan saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual.
“Pihak Kementerian Jabatan Kerja Raya juga perlu memberikan pampasan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas ekoran projek berkenaan.
“Ia termasuklah 15 rumah setinggan yang berkelayakan dan telah menetap lebih 30 tahun di kawasan terbabit,” katanya ketika dalam perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 penggal keempat di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu katanya, pemaju yang dilantik perlu menyampaikan makluman kepada para pemilik premis dan kediaman di sepanjang jalan berkenaan.
Katanya, beliau sudah menyampaikan perkara itu kepada pihak kementerian terbabit tetapi sehingga hari ini masih belum menerima maklum balas.
Sementara itu katanya, terdapat keperluan untuk memperkasakan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri secara segera.
“ini penting agar boleh memberikan pulangan atau keuntungan besar kepada kerajaan negeri Sabah, sekali gus untuk terus berdaya saing,” katanya. – Utusan Borneo