JAKARTA: Penduduk di Lasem, Rembang, Jawa Tengah dikecohkan dengan penampakan pocong dan rumah mereka sering diketuk secara misteri pada waktu malam.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Desa Sumbergirang dan Desa Jolotundo.
Seorang daripada penduduk memberitahu, dia ternampak entiti itu di rumah jirannya berhampiran sebatang pokok limau pada minggu lalu.
Peristiwa sama turut disaksikan beberapa penduduk lain yang menyatakan tidak selesa dengan kehadiran entiti tersebut.
“Kami berasa takut untuk keluar pada waktu malam ketika ini disebabkan pocong, malah aktiviti perniagaan juga tidak dapat dilakukan seperti biasa.
“Lama-kelamaan, perkara itu akan menjejaskan kehidupan kami, sumber pendapatan kami,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Widodo.
Namun, ada juga penduduk yang berpendapat, penampakan pocong itu sebenarnya dilakukan oleh manusia yang sengaja ingin menakutkan penduduk setempat.
Jelas mereka, berdasarkan maklumat yang dikumpul, beberapa saksi memberitahu, pocong itu kelihatan seperti ‘tidak selesa’ dan ‘pandai berlari’ apabila dikejar penduduk kampung.
“Kami tidak dapat tidur nyenyak setiap malam, ditambah pintu rumah kami sering diketuk, apabila dibuka, tiada siapa di luar.
“Malah, ada penduduk kampung membakar pokok pisang mereka selepas mendakwa sering ternampak pocong di situ,” ujar Widodo.
Sementara itu, polis Lasem mengesahkan mereka sudah menerima laporan mengenai kejadian itu dan penduduk kampung minta mereka menjaga keselamatan di waktu malam.
“Polis meminta semua penduduk kampung supaya tidak panik kerana dibimbangi boleh mencetuskan insiden yang tidak diingini.
“Polis akan siasat jika benar kejadian yang berlaku di dua kampung itu disebabkan oleh entiti mistik atau manusia yang tidak bertanggungjawab,” kata jurucakap polis.- AGENSI/Utusan